Change

Lokasi: Bahagian Makam, Masjid Sri Sendayan.
Tarikh: 6 Feb 2020


Saya suka melihat perubahan. Dalam sesuatu tempoh, saya ubah susun atur kamar kerja atau ubah sedikit-sedikit susunan taman kecil (dengan bantuan ahli-ahli keluarga). Pendek kata, perubahan itu perlu biar pun kecil dan nampak seperti tidak signifikan. Sudut yang tidak berubah akan berhabuk dan mengundang hal-hal yang tidak sepatutnya bermukim di sana.

Manusia juga seharusnya begitu. Perubahan boleh jadi 'progress' (maju), boleh jadi 'regress' (undur). Apabila seseorang itu berubah, kita mungkin masih kenal orangnya, cuma dapat mengecam perubahan ke atasnya; atau, kita langsung tidak kenal orang itu kerana perubahannya begitu drastik. Contoh, daripada bertudung dengan sejenis gaya, kini berubah kepada gaya yang lain pula. Tudung juga boleh mengubah raut wajah seseorang.

Setiap kali ditegur bahawa kita sudah lain ertinya ada perubahan sedang berlaku. Kita harapkan perubahan itu sesuatu yang lebih baik, insya-Allah. Bukankah kita berharap agar kita berubah menjadi lebih baik daripada semalam?

Lantas, apabila ada yang menegur atau tidak menegur kerana kita sudah tidak dikenali seperti kita yang dahulu, usah gusar. Itu tandanya, perubahan sedang/sudah berlaku kerana setiap seorang daripada kita melalui proses hidup dan perjalanan jiwa yang berbeza-beza.

Kita harus perkenalkan diri kita semula kepada mereka yang sudah lama kita tidak bertemu. Usah anggap orang lain pasti terus mengingati kita. Sesungguhnya kita tidak tahu sejauh mana kita telah berubah. Setiap hari, kita mungkin memerhatikan diri, orang lain hanya bertemu kita mungkin setahun sekali. Memori terakhir orang itu terhadap kita ialah setahun, dua tahun atau beberapa tahun yang lalu. Namun, nama, peristiwa dan sesuatu yang unik tentang kita pasti diingati.

Kalau kita masih lagi memiliki wajah seperti mana wajah kita 10 - 20 tahun yang lalu, saya tidak fikir itu sesuatu yang harus dibanggakan. Secara fizikalnya sahaja tiada perubahan pada wajah, ada kemungkinan jiwa kita terperangkap seperti mana 10 - 20 tahun yang lalu juga. Kita masih yang itu-itu juga.

Jadi, berbanggalah apabila orang lain berkata, "eh, awak sudah lain." Jawab sahaja, "Alhamdulillah, saya memang mengharapkan ada perubahan yang lebih baik atas diri saya." Terus bersangka baik dengan kata-kata orang itu. "Lain" itu bermaksud yang baik-baik sahaja. Ertinya, dia nampak sesuatu yang berbeza dengan kita. Itu juga tanda kita masih diingati.

Kalau ada yang lalu sebelah kita tetapi kita tidak ditegurnya. Pun, bersangka baik juga. Orang itu mungkin bukannya sombong atau enggan menegur kita. Dia barangkali sudah tidak kenal lagi akan kita kerana perubahan kita barangkali lebih drastik atas alasan tertentu.

Ambil sikap positif dan ambil masa untuk perkenal diri dan berkenalan sekali lagi.

Atas alasan yang sama juga saya tinggalkan dahulu grup laman-laman sosial zaman sekolah dan juga universiti. Saya bukan lagi Nisah Haron sewaktu kita sama-sama bersekolah atau sewaktu sama-sama di kampus. Kita semua berubah dengan zaman, keluarga dan segala macam peristiwa yang mengubah diri.

Bukankah air yang mengalir itu lebih baik daripada air yang bertakung.

Perubahan itu tandanya kita masih lagi hidup dan masih lagi ada sejumlah amanah yang wajib ditunaikan, insya-Allah!


Ulasan

Catatan Popular