Hari Lahir Eidil Adha & Hati Yang Terbakar

Tahun lepas, hari ulang tahun perkahwinan kami jatuh pada Eidul Adha. Tahun 2006, tarikh ini tepat merayakan ulang tahun hari lahir anak bongsu saya - Insyirah. Sudah 3 tahun usianya kini. Tetapi keletahnya mengalahkan usianya. Maklumlah dia ada dua orang kakak yang boleh memberi tunjuk ajar.

Kami jarang menyambut hari lahir dengan cara meniup lilin. Memang kami tidak biasakan, walaupun hanya untuk suka-suka. Tak perlulah sambut hari lahir begitu sekali, bukan? Cukuplah sekadar meraikan dengan serba sederhana. Paling penting, dimaklumkan bahawa usia kini sudah bertambah. Bersyukurlah dan tanggungjawab sebagai manusia juga bertambah setakah lagi. Paling tidak, saya bakarkan kek coklat basah kegemaran sekeluarga. Itu sahaja yang termampu dalam kesibukan kuliah yang telah bermula dan tugasan-tugasan yang semakin meningkat.


II

Baru-baru ini hati saya sangat terbakar oleh satu insiden. Ketika diberi tanggungjawab sebagai Ketua Fasilitator untuk PPSB, saya mohon supaya ditugaskan di kem yang paling dekat dengan rumah. Memang itupun biasanya dilakukan oleh pihak pengurusan di DBP. Tentu sahaja mereka tidak mahu membayar lebih untuk pengkilometeran yagn tidak sewajarnya. Saya juga tidak berminat untuk ke kem yang amat jauh kerana risiko memandu pada waktu malam memang tinggi. Tambahan lagi, saya selalunya memandu sendirian untuk ke kem yang ditugaskan.

Sepatutnya, saya dapat semula di kem yang paling dekat. Apatah lagi, saya telah bina hubungan baik @ rapport dengan pihak pengurusan kem sewaktu sesi PLKN 03/2005 yang lalu. Memang pada asalnya, saya wajar dikembalikan ke kem tersebut. Tetapi atas arahan 'dari langit' saya pun diarahkan oleh ketua penyelaras negeri supaya menjadi Ketua Fasilitator di kem yang agak jauh di tepi pantai. Saya boleh terima arahan tersebut jika ia mempunyai alasan yang munasabah. Tetapi alasan yang dikemukan ialah, kem itu mempunyai masalah dengan pihak komandan kem dengan pihak PPSB. Kali ini, ialah kali keempat penganjuran PPSB di kem tersebut.

Saya katakan secara terus terang kepada ketua penyelaras negeri, kalau dah tahu kem tersebut bermasalah, mengapa ketua penyelaras sendiri tidak ambil inisiatif membetulkan keadaan dengan menjadi ketua fasilitator di kem tersebut.

Dia menjawab, ketua fasilitator sebelum ini semuanya lelaki. Semuanya tak jalan. Kita nak cuba hantar perempuan pula. Mungkin ada perubahan.

Jawapan paling pengecut yang pernah saya dengar !!!

Saya tahu mengapa saya dihantar ke sana. Dia tidak mahu menguruskan masalah tersebut. Dia mahu sapu sahaja di bawah karpet. Mudah bukan, hantar seorang fasililator lagi, asalkan bukan dirinya. Saya bantah lagi. Saya katakan sebelum ini saya dihantar ke kem paling dekat, mengapa kali ini dengan alasan yang begitu meleset, mengirim saya ke sana.

Dia meningkah, bahawa sebelum ini saya juga pernah menjadi fasilitator biasa di kem yang jauh itu, mengapa sekarang perlu membantah.

Saya katakan lagi, ini bukan soal jauh dekat. Ini soal tanggungjawab seorang ketua penyelaras negeri.

Tapi akhirnya, saya malas hendak bertengkar dengan sebiji batu. Tak mengapa, saya akan buktikan bahawa dia tidak cukup 'jantan' untuk menghadapi situasi sebegini. Dia juga tidak cukup 'jantan' kerana dayus menghantar seorang perempuan untuk menyelesaikan masalah ini.

Baiklah, saya terima cabaran tersebut. Dan dengan sikapnya itu saya sudah dapat menebak natijahnya selepas ini. Jika saya berjaya membina semula hubungan baik di kem tersebut, dia akan katakan, 'baiklah, awak boleh pilih kem lain kerana kem ini agak jauh untuk awak. Dulu pun awak tak mahu kem ini, bukan?' Hanya setelah saya selesaikan semuanya nanti!

Tetapi jika masalah yang dihadapi masih sama, dia juga akan dengan mudahnya memberitahu bahawa saya ketua fasilitator yang tidak mampu untuk menyelesaikan masalah.

Mujurlah saya mempunyai rasa kecintaan yang amat tinggi untuk meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa dan sastera ini biar apa sekalipun cabaran yang harus saya hadapi. Mungkin itulah kelemahan saya. Rasa cinta yang amat mendalam ini memudahkan orang lain mempermain-mainkan saya. Tapi, saya juga ada cara tersendiri untuk menghadapinya.

Doakan saya berjaya membuktikannya!

*maaf, entri kali ini agak emosi. Penulis perlukan ruang untuk meluahkan segala rasa yang terbuku di atma.

Ulasan

Catatan Popular