Khamis, Februari 16, 2006

Melunas Amanah


Program Penghayatan Sastera & Budaya, PLKN peringkat Negeri Sembilan secara rasminya selesai malam tadi. Baru saja saya marah-marah sebelum ini tentang beberapa perkara yang saya tidak berpuas hati dalam tulisan saya sebelum ini, alih-alih, saya pula yang dilantik sebagai Penyelaras Negeri.

Sebagai penyelaras negeri, saya dikehendaki memantau ketujuh-tujuh Kem Latihan Khidmat Negara di Negeri Sembilan iaitu :

  • Kem Seri Perkasa, Mantin
  • Kem Rachado Bay, Tanjung Tuan, Port Dickson
  • Kem Ulu Pari Aqua Village, Rembau
  • Kem PDS Resort, Port Dickson
  • Kem Titian Bintangor, Rembau
  • Kem Karisma, Kuala Pilah
  • Kem Rekreasi De Bana, Jempol
Maka berangkatlah saya ke semua kem tersebut kecuali PDS Resort dan Seri Perkasa kerana pada ketika itu saya baru sahaja dilantik sebagai Penyelaras. Pelantikan itu juga agak mengejut. Saya fikir, kalau ia pun saya akan dilantik, biarlah selepas selesai satu sesi. Sesi kedua akan bermula pada 19 Mac nanti. Tetapi, disebabkan penyelaras Negeri Selangor menarik diri secara mengejut, Penyelaras NS yang lama dipindahkan ke Selangor, lalu sayalah yang terlantik di NS.

Alhamdulillah, seperti biasa saya menerimanya sebagai satu cabaran. Bukan mudah untuk pergi ke setiap kem pada malam terakhir bagi menyaksikan persembahan para pelatih. Apatah lagi bagi kem yang 'corok' (teramat jauh ke dalam). Saya melihat inilah peluang untuk saya memperbaiki keadaan yang ada. Kalau dulu, saya cuma boleh merungut, kini saya ada ruang dan peluang untuk memperbetulkan mana yang kurang.

Malam tadi, saya pulang dari Kem De Bana, Jempol jam 1.30 pagi. Mujuk Sdr A. Ghaffar Ibrahim (AGI) yang menjadi tokoh sastera jemputan ke kem tersebut, turut sama konvoi apabila pulang. Jalan masuk ke kem tersebut memang gelap dan kedudukan kem tersebut jauh, kena tempoh simpang ke Felda Pasoh, Felda Lui Barat dan jalan itu pula boleh tembus ke Temerloh.

Dua malam lepas, saya ke Kem Titian Bintangor, Rembau bersama-sama Kak Mahaya sebagai tokoh undangan. Dengan Kak Mahaya kami sekereta. Sungguhpun jauh jalan ke kem ini, tetapi menempuh ladang penternakan rusa (jabatan haiwan), ladang burung unta serta banyak monyet, kera bermain-main dengan rusa. [Ah... indahnya suasana rimba...]

Pernah sekali suami saya hantar ke kem Ulu Pari Aqua Village kerana saya baru saja pulang dari Konvensyen Bahasa & Pendidikan di Johor Bahru, kata Along, "Mama's school is in the jungle." Lalu adik-adiknya pun menyampuk langsung menyanyi, "In the jungle, the mighty jungle the lion sleeps tonight..." yang dipetik dari filem animasi Walt Disney, The Lion King.

Betapa bertuahnya para pelatih yang sempat mengikuti kem Khidmat Negara ini. Saya melihat lebih banyak yang positif berbanding negatif. Mungkin selama 6 malam, tidak mungkin menjadikan mereka pencinta seni dan sastera, tetapi sekurang-kurangnya pengisian Program Penghayatan Sastera dan Budaya ini memberi mereka pendedahan dan penghayatan dalam pelbagai aspek dalam sastera. Mereka tidak akan memikirkan program sastera ini dilakukan hanya untuk lulus periksa semata-mata.

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails