Selasa, September 29, 2009

Sabtu, September 26, 2009

Lemang Nan Sebatang

Entri pada 26 September 2009

Saya pasti cerpen yang serba sederhana itu juga ada kelemahannya. Jika anda gembira dan berpuas hati membacanya, saya terlebih bahagia ketika menghasilkannya. Cerpen ini melalui hampir 5 buah draf, khususnya pada peringkat akhir kerana harus disunting kemas serta dipendekkan kepada 150 baris. Sekitar 7 halaman suku. Sudah tidak boleh dipendekkan lagi. Cerpen yang pendek lebih sukar dihasilkan kerana setiap baris dan setiap diksi harus mengandungi makna. Dialog, khususnya, tidak boleh lewah.

Cerpen ini telah disiarkan di dalam ruangan Kreatif - Berita Harian Sabtu, 26 September 2009

Lemang Nan Sebatang



Petikan :

"ESOK-ESOK bilo Busu dah tak ado, jangan cari sampai kubur! Meraung-raung: 'Busu, macam mano nak buek ni? Anak-anak sey nak makan. Sey tak tahu nak buek!' Maso tu, Busu tak pek nak nolong do."

.
.

Jumaat, September 25, 2009

Menguruskan Duit Raya

Salam Eidulfitri buat semua!



Bagi sesiapa yang masih belum ada anak, mungkin hal yang saya perkatakan di sini tidak ada berapa banyak signifikannya. Malah, ramai juga antara mereka yang sudah bekerja tetapi belum berkahwin akan mengeluh apabila tibanya musim raya. Ini disebabkan merekalah yang terpaksa memberi duit raya kepada anak-anak buah dan anak-anak saudara mara ataupun anak-anak kawan-kawan.

Pengalaman menguruskan duit raya apabila sudah ada 5 orang anak ini mengajar saya cekap membuat matematik - sama ada saya suka ataupun tidak. Seperti biasa, ibulah yang akan menjadi 'akauntan' tidak rasmi. Anak-anak hanya tahu jadi 'tukang audit' saja. Semua duit raya akan diserahkan kepada ibunya (yang selalunya ada beg tangan besar) untuk disimpan. Apabila sampai di rumah, ibunyalah yang akan ditanya berapakah jumlah duit raya yang terkumpul hari ini ataupun di manakah duit raya yang telah diserahkan.

*Hai* Letih juga kalau akauntannya seorang tetapi juruaudit sampai 5 orang! (mujur juga dua daripadanya belum pandai membuat 'aduan rasmi') :-)

Tahun ini, saya buat sedikit catatan berapa jumlah, siapa yang beri dan di mana duit raya itu diperoleh. Catatan itu boleh membantu jika ada short di mana-mana apabila membuat perkiraan. Adat orang anak ramai seperti saya, jumlah yang diberikan oleh orang lain kepada mereka tidaklah sebanyak mana. Pun, saya bukanlah terlalu mengharap mereka diberikan duit raya. Saya lebih mengutamakan ukhwah yang sedang dijalankan. Paling penting, mereka tahu rumah siapa mereka pergi, apakah hubungan kami dengan tuan rumah dan mengapa kami harus ke sana lagi pada kunjungan Hari Raya yang akan datang.

Memberi duit raya pula, saya tidak terlalu berkira. Saya fikir, jika ada anak-anak yang datang (khususnya anak-anak saudara, anak-anak rakan/taulan), saya anggap mereka itu pembawa rezeki kepada rumah kami. Memberi duit raya sebagai tanda meraikan kedatangan mereka dan juga memberi keseronokan kepada anak-anak itu tidak kurang pentingnya. Rasulullah S.A.W. juga biasa membuat kanak-kanak gembira.

Adakalanya, kalau saya tak tahu nak beri apa-apa lagi, saya hadiahkan sahaja mana-mana buku saya yang sesuai untuk kalangan pembaca-pembaca muda itu. Oh, saya pula terasa lebih bahagia memberikan mereka bahan bacaan yang berfaedah.

Lentera Mustika di dalam carta MPH





Tidak banyak carta buku terlaris yang ada di dalam negara kita. Yang terkenal ialah MPH dan Popular. Oleh itu, carta inilah yang dijadikan petanda kepada laris ataupun tidaknya sesuatu buku. Faktor penentu kepada laris ataupun tidaknya sesebuah buku bergantung kepada banyak hal. Antaranya ialah promosi dan pemasaran.

Apabila saya memutuskan untuk menghantar Lentera Mustika ke PTS Litera Utama, saya turut menerima beberapa komen negatif; bahawa novel ini akan dilabelkan di bawah kategori pop Islami, saya bukan lagi penulis sastera tegar dan sebagainya. Lalu, saya abaikan sahaja komen-komen tersebut kerana hidup melayan komen orang lain samalah ertinya seperti kisah orang tua, anak dan keldainya.

Saya tahu mengapa PTS menjadi pilihan saya ketika itu walaupun dicemek oleh penerbit lain yang turut berminat untuk menerbitkannya. Saya sudah memerhatikan cara PTS membuat pemasaran. Tim pemasarannya mempunyai muka tebal (baca dalam konotasi positif, ya). Mereka tidak segan-segan ataupun malu-malu untuk go all out memasarkan buku-buku mereka. Mereka sungguh-sungguh percaya dengan produk sendiri.

Kalaulah hal yang sama dilakukan oleh penerbit-penerbit yang lain, pastinya buku saya yang memenangi anugerah akan cepat dicetak ulang kerana adanya permintaan. Baru-baru ini, ketika mencari novel-novel memenangi anugerah seperti tidak ada di kedai-kedai buku rangkaian. Oleh sebab sudah ada pengalaman mencari buku-buku tersebut, saya pun lihat pada rak yang paling hampir dengan kaki. Nah, di situlah letaknya novel-novel yang telah memenangi anugerah. Bukannya pada rak pameran utama yang memaparkan diskaun tertentu.

Pun, saya tidak menyalahkan kedai buku berkenaan kerana saya percaya penerbitnya tidak cukup agresif dalam mempromosi judul-judul ini. Mereka barangkali sekadar menghantar standing order kepada kedai dan mengharapkan kerja-kerja seperti mengeluarkan buku dari kotak, meletakkan buku di rak dan meletakkan tanda harga pada buku serta mempromosi buku itu semuanya dilakukan oleh kedai. Penerbit yang mahu goyang kaki dan bahagia menunggu pesanan seterusnya barangkali tidak akan menerima sebarang pesanan lanjut. Di Ujana Ilmu juga, kami tidak melakukan sebarang promosi. Jika penerbit ataupun pengarang berusaha lebih seperti mempromosi di blog dan laman web masing-masing, barulah kami ada sebab untuk meletakkan buku tersebut di laman utama.

Semoga PTS dapat mengekalkan cara kerja pemasaran yang sedemikian dan dalam masa yang sama memperbaiki kerja-kerja suntingan bagi buku-bukunya. Saya menerima pelbagai rungutan daripada pembaca yang menyatakan kesilapan ejaan agak berleluasa di dalam buku terbitan PTS. Ini agak membimbangkan lantaran Pengerusi PTS merupakan jaguh Bahasa Melayu, lantas buku-buku PTS haruslah mencerminkan aspirasi yang sama.

Jumaat, September 18, 2009

Azmah Nordin - Penerima Anugerah SEA Write ke - 31

Setinggi-tinggi tahniah kepada Puan Azmah Nordin yang baru diumumkan sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) untuk tahun 2009.

Penerima anugerah ini akan menerima wang tunai 70,000 Baht (RM6,796.77).

Hadiah akan disampaikan pada 9 Oktober 2009 di Bangkok, Thailand.

Sumber berita di sini.

Khamis, September 17, 2009

Mata & Saiz Buku

Semakin usia memanjat, semakin banyak keperluan dan juga peningkatan kepada kos hidup. Ini semua tanda-tanda nikmat hidup sudah mula diambil satu persatu oleh-Nya. 

Kalau dahulu, boleh sahaja membaca di dalam cahaya yang suram, kini saya perlukan cahaya yang secukupnya untuk membaca. Ada suatu hal yang tidak boleh tidak sekarang ini. Saya lebih selesa membaca buku yang teksnya sederhana besar. Oleh itu, saya kini meninggalkan pembacaan novel bersaiz poket kerana tulisannya bukan sahaja halus tetapi jarak antara huruf juga dirapatkan.

Apabila menerbitkan buku, perkara-perkara akan diambil kira oleh pihak yang menguruskan setting buku - pengatur huruf, khususnya. Pilihan font dan saiznya memainkan peranan. Ini termasuk jugalah jarak antara baris-baris ayat pada sebuah buku. Jidar (margin) tengah yang menjadi gutter juga penting. Kita tentu tidak selesa jika teks buku tersebut berada terlalu rapat dengan gutter ataupun bahagian tengah buku. Nanti, buku itu harus dibuka seluas mungkin. Bayangkan jika membaca dengan sebelah tangan, ibu jari harus bekerja lebih untuk menekan buku supaya boleh terbuka dengan lebih luas bagi membaca teks di bahagian tengah tadi.

 Gambar : buku yang ada gambar budak perempuan itu ialah edisi baharu. Yang gambar burung, edisi terdahulu (saiz poket)

Baru-baru ini saya membeli semula buku To Kill A Mocking Bird karya Harper Lee. Buku ini sudah menjadi bestseller tidak terkira tahunnya. Masih lagi dicetak ulang hingga kini walaupun terbit pada pertama kali pada tahun 1960. Sebagai pelajar undang-undang, seolah-olah tidak sah menjadi mahasiswa undang-undang jika tidak pernah membaca buku ini. Oleh sebab, kalau tak ada buku ini di rak buku tidak sah, saya pun membeli buku ini sewaktu masih lagi bergelar pelajar.

Sebagai pelajar, saya harus berkompromi untuk membeli naskhah edisi murah. Oleh sebab mahu berkompromi, kesannya setting buku itu sangat tidak menarik. Lalu, sampai saya bergelar graduan pun saya masih lagi tidak boleh menghabiskan bab pertamanya. Ketika saya sudah menulis novel Mencari Locus Standi, ramai yang beranggapan bahawa Harper Lee pastilah menjadi salah seorang yang memberi inspirasi kerana novel ini juga mengisahkan kes undang-undang.

Sejujurnya, saya membaca novel John Grisham terlebih dahulu dan sebuah novel berjudul Inadmissible Evidence (Philip Friedman) sewaktu zaman mahasiswa. Pun, ketika saya masih bergelar pelajar undang-undang, saya tidak berapa terpanggil untuk menulis novel undang-undang walaupun sudah beberapa ada beberapa cerpen yang mengambil latar yang demikian. Mungkin benarlah kata pengarang-pengarang terdahulu bahawa saya tidak boleh melihat sebuah hutan jika saya berada di dalam hutan. Yang saya nampak hanyalah pokok-pokoknya. Saya harus keluar daripada hutan itu dahulu, barulah saya nampak keindahan hutan. Ketika saya keluar daripada profesion guaman, keluar daripada diri saya yang menjadi peguam itu, barulah saya boleh bercakap dari aspek undang-undang, keadilan dan yang seumpamanya. (Barangkali inilah sebabnya, tokoh-tokoh politik lebih lantang mengkritik parti sendiri setelah meninggalkan parti tersebut, ataupun ketika tidak lagi bertugas sebagai menteri.)

Saya sudah melencong jauh!

Gambar : Terbitan Warner (kiri); terbitan Harper Perennial (kanan) - edisi besar

Kembali kepada saiz buku. Sampai sudah, saya tidak membaca To Kill a Mocking Bird. Jadi, baru-baru ini saya ke Kinokuniya KLCC bersama-sama adik ipar (yang juga ulat buku!) dan terjumpa edisi yang lebih besar dan selesa untuk dibaca.

Adik : La, kenapa Along beli buku tu, saya ada.
Saya : Along pun ada, tapi edisi jimat. Kecil benar, tulisannya rapat-rapat padat. Sakit mata membaca.

 Gambar : Edisi saiz poket - Warner Books

Jadi, seperti ramai yang mengenali saya, dalam hal membeli buku, saya tidak mengamalkan sifat jimat cermat. Kalau buku tu tak ada diskaun pun, saya sapu juga. Yang penting, bukannya diskaunnya tetapi isi kandungannya. Jika buku itu memang kebetulan dijual dengan harga diskaun, lebihlah elok. Tapi, itu bukan prioriti saya. (Adakalanya, saya tak faham ada orang yang sungguh-sungguh bangga kerana dapat beli buku dengan harga diskaun, sedangkan kos-kos lain seperti duit minyak, tambang, kos penghantaran (bagi pembelian online), tidak diambil kira. Banyak udang, banyak garam!)

Gambar : Edisi sederhana besar - Harper Perennial Modern Classic

Bandingkan lagi : 

 
  
  
Membaca bab pertama dengan setting yang demikian, tanpa eye-rest yang cukup sudah tidak sesuai lagi dengan mata saya. Mata terpaksa bekerja lebih untuk menghayati teks. Tidak hairanlah bapa saya sekarang ini membaca menggunakan kanta pembesar di bawah cahaya lampu ala lampu sorot - sebenarnya ini lampu membaca (reading light). 
Atas alasan yang sama juga, saya masih lagi tidak dapat memulakan pembacaan One Hundred Years of Solitude (Gabriel Garcia Marquez). Masih menunggu pesanan seorang sahabat penulis yang baru pulang dari luar negara yang katanya berjaya mendapatkan edisi sederhana besar. Saya katakan kepadanya, tak kisah kalau buku itu tebal atau pun buku terpakai - kalau dapat yang berkulit tebal, tapi terpakai dan keadaannya masih elok, saya tidaklah terlalu memilih, asalkan tulisannya selesa untuk mata saya. 
Saya juga kini akan membeli buku-buku dengan saiz begini sahaja. Buku-buku bersaiz poket sudah semakin hilang signifikannya di dalam hidup saya. Inilah antara nikmat yang telah diambil kembali oleh-Nya. 
Anda tidak semestinya bersetuju dengan saya, khususnya yang masih muda belia. Oleh itu, membacalah bahan-bahan yang berkualiti tidak kira tulisannya halus ataupun besar selagi mata anda boleh memberikan khidmat yang optimum. 
Sudah sampai masanya, saya meninggalkan perkara-perkara remeh dan kecil di dalam hidup dan memfokus kepada perkara-perkara yang lebih besar dan bermakna. 
Tuhan, terima kasih atas nikmat mata dan penglihatan yang ditelah dipinjamkan. Aku banyak membaca dan mengambil faedah daripadanya. Syukurku, tak terhingga!
.
.

Isnin, September 14, 2009

Beginikah Cara Meminta ?

 Terkini : Pelajar ini sudah memohon maaf kepada saya melalui e-melnya. Saya sudah maafkan dia kerana dia menyedari kesilapannya. Walau bagaimanapun, pensyarahnya turut menghubungi saya dan tidak bersetuju dengan cara saya ini. Namun, untuk kepentingan anak bangsa dan kegunaan mahasiswa/i pada masa hadapan, saya mahu kekalkan entri ini supaya tidak ada lagi yang mengulangi perkara-perkara yang asas dan memerlukan common sense begini. Saya tidak berniat untuk menyusahkan sesiapa ataupun enggan bekerjasama; namun, saya harus bertegas untuk faedah semua. Harap maklum.

***
Saya malas betul hendak 'marah-marah' sewaktu bulan Ramadhan ini. Saya juga banyak mengambil pendirian untuk mengelak daripada berada di dalam lingkungan yang boleh menyebabkan saya marah atau mengata. Namun, seperti kata pepatah Melayu : tak tumbuh tak melata, tak sungguh takkanlah saya saja nak kata.

Ini kali kedua saya menerima e-mel yang sebegini :


Cuba lihat pada thread e-mel ini. Lihat juga berapa kali e-mel ini sudah dilanjutkan (forward).

Kandungan bahan yang dijadikan attachment ialah soal selidik yang diminta supaya menerima melengkapkannya. Di dalam attachment itu juga dinyatakan maklumat orang yang membuat soal selidik tersebut, universiti yang diwakili. Dia tidak menyatakan sama ada tesisnya ini untuk ijazah sarjana muda, sarjana ataupun PhD.

Terus terang, saya memang boleh saja menjawab soalan tersebut. Namun, saya terkilan kerana e-mel itu dibuat di dalam bentuk lanjutan (forwarding e-mail). Ini suatu kerja mudah dan ambil mudah. Saya juga sudah beberapa kali menerima e-mel yang sebegini. Kemudian, jawapan yang sudah saya taip itu akan ditampal setiap patah katanya ke dalam kandungan tesis mereka. Mudah, bukan?

Sedangkan, ada pelajar yang mewawancara saya secara langsung juga memasukkan jawapan saya secara verbatim ke dalam kajian mereka sebagai sebahagian daripada cara untuk menebalkan tugasan. Ah, saya kecewa dengan sikap begini.

Apatah lagi, saya cuma layak menerima e-mel yang dilanjutkan sahaja.

Implikasinya :
  • saya tidak penting (cukup untuk menerima e-mel lanjutan)
  • tiada salam sebagai permulaan kata (kalau bukan Islam pun, boleh saja guna salam sejahtera). Tiada maksud permintaan dinyatakan pada bahagian isi e-mel. Kalau minta kerja, memang akan saya jadikan kertas recycle pada resume calon ini.
  • orang ini tidak ada usaha untuk personalise e-mel tersebut. 
Oleh itu, saya fikir dia pun bukannya terlalu penting untuk saya respons kepada e-melnya. Tetapi, entri ini akan saya hantar kepadanya supaya menjadi satu bentuk pengajaran kepadanya dan juga kepada sesiapa yang berminat untuk mewawancara saya selepas ini.

Ya, saya kedengaran seperti garang dan cerewet.
Ya, katalah apa saja pun. Masa yang saya gunakan untuk menjawab e-mel tersebut ialah masa saya. Jadi, saya ada pilihan untuk menjawab ataupun sebaliknya.
Jika selepas ini, hal ini menyebabkan tiada orang yang akan mengkaji karya saya lagi ataupun meminta pendapat saya; mungkin itu lebih baik kerana saya akan lebih tenang melakukan kerja saya sendiri.

Tolonglah, inikah cara untuk meminta?

Saya fikir saya sudah beberapa kali menulis tentang perkara ini. Jelas, entri saya yang terdahulu tidak sampai pada pengetahuan pelajar ini. Mungkin nanti harus saya arkibkan di bahagian sisi supaya dapat dirujuk kembali.

Oh, saya terkilan dengan sikap yang ditunjukkan. Saya bukannya selalu begini. Tanyakanlah sesiapa sahaja yang pernah mewawancara saya sebelum ini. Jika caranya betul, saya sangat bekerjasama.

Tuhan, sesungguhnya aku berpuasa!
Sabarkanlah hati ini. 

.
.

Khamis, September 10, 2009

10092009 - 20 Ramadhan 1430H

Oleh sebab ramai benar yang memilih untuk mengabadikan tarikh 090909 semalam, saya memilih tarikh sehari selepasnya untuk mencatat sesuatu. Gambar di sisi ialah putera bongsu yang tidak ada kena mengena secara khusus dengan entri ini.

Benar, tidak semua yang ditulis itu harus berkait dengan sesuatu secara tersurat. Namun, apa yang tersirat itu biarlah diselongkar oleh sesiapa yang berminat.

Sesuatu tarikh atau masa atau peristiwa menjadi istimewa apabila ia memberi makna kepada diri kita. Pada saya, tarikh semalam tiada erti yang signifikan. Lantas, saya tiada alasan untuk mengabadikannya.

Tarikh hari ini? Pada saya ada erti yang tersendiri. Selain hari ini ialah 20 Ramadhan - bermulanya fasa ketiga dalam bulan penuh barokah ini - pada tarikh ini juga saya mendapat seorang anak saudara pada tahun lepas. Kini (pada hari ini) sudah 2 bulan pula dia meninggalkan kami semua kerana dijemput pulang ke pangkuan-Nya. Dia hanya dipinjamkan kepada kami sekeluarga selama 10 bulan.

Dia hampir seusia dengan putera bongsu saya (yang lahir kira-kira 40 hari kemudian). Jika umurnya panjang, pasti dia akan menjadi hero-hero di teratak kami yang sudah sedia gamat dengan puteri-puteri yang lain. Dia pulang dengan tergesa-gesa pada hari lahirnya yang kesepuluh bulan itu.

Kepulangannya harus menjadi peringatan kepada setiap insan bahawa tarikh kepulangan kita bukannya dapat ditentukan seperti tiket-tiket untuk pulang berhari raya. Tiketnya sudah lama kita tempah cuma, kita sendiri yang tidak dimaklumkan tarikhnya. Oleh itu, kita boleh saja dijemput pulang pada bila-bila masa.

Saya teringat kisah Rabiatul Adawiyah. Pada setiap kali bersolat, beliau membayangkan bahawa itu ialah solat terakhirnya.

Selamat beribadah!
.
.

Jumaat, September 04, 2009

Aduhai - Fatimah Busu




Judul : Aduhai
Pengarang : Fatimah Busu
Penerbit : NP Business Office Solution
Genre : Kumpulan cerpen
Mukasurat : 356 halaman
Cetakan Pertama : 2009
ISBN : 9789834468507












Ada banyak sebab anda perlu membeli buku ini :
  • Ini ialah kumpulan cerpen Fatimah Busu yang terkini.
  • Buku ini tiada di pasaran terbuka - khabarnya hanya dicetak sebanyak 300 naskhah.
  • Ada 7 buah cerpen yang tidak 'berani' disiarkan oleh mana-mana editor.
  • Fatimah Busu antara penulis wanita yang berminat mengangkat tema politik dalam karyanya, akhir-akhir ini.
  • Tidak ramai penulis yang berani mengkritik selantang ini di dalam karya.
  • Harganya RM35 tetapi sangat berbaloi kerana belum tentu Fatimah Busu akan mencetak ulang.
  • Kepada yang pernah membaca cerpennya "Anak-anak Dari Kampung Pasir Pekan" ada sambungannya dalam buku ini.
  • Cerpen "Anak-anak Dari Kampung Pasir Pekan II" (Dewan Sastera) merupakan antara cerpen terpanjang yang pernah diterbitkan oleh Dewan Sastera - lebih kurang panjang cerpen Seha (Shahnon Ahmad).
  • Kepada yang tidak kenal siapa itu Fatimah Busu, boleh rujuk buku teks KOMSAS Tingkatan 3 kerana dialah pengarang cerpen "Anak Bumi Tercinta".
  • Fatimah Busu juga terkenal dengan novelnya "Ombak Bukan Biru", kalau tak pernah baca novel ini anda tidak boleh menggelarkan diri sebagai pembaca tegar.
  • Fatimah Busu pernah dianugerahkan S.E.A. Write Award (diadakan pada setiap tahun di Thailand) tetapi menolak kerana tidak mahu menerima hadiah daripada tangan negara yang membunuh umat Islam sewenang-wenangnya.
  • Beliau orang Kelantan, oleh itu orang Kelantan wajib baca buku ini. Kalau tidak, orang Johor, orang Negeri Sembilan, orang Selangor, orang Perak dan negeri-negeri lain akan habiskan stok yang 300 naskhah itu. Nanti orang Kelantan kena pinjam dari orang negeri lain. :-)


Senarai lengkap koleksi cerpen adalah seperti :

1. Apabila Air Mata Menjadi Darah (Berita Minggu)
2. Melankoli Atas Rumput (Dewan Sastera)
3. Wajah-wajah Ramadhan 1428 (Siasah)
4. 10 Budak Hitam (Berita Minggu)
5. 10 Puteri Tak Dilindungi Bulan (Berita Minggu)
6. Karung Masalah
7. Putih Putih, Nadzirah, Siti Dewi, Tampung
8. Kalaulah Hatiku Seperti Hati Medalin
9. Aduhai Si Luncai (Dewan Sastera)
10. Aduhai Pak Pandir (Siasah)
11. Aduhai Pak Kadok (Siasah)
12. Aduhai Pak Belalang
13. Malang Si Lebai Malang
14. Tanah Segara Bukit Itu (Siasah)
15. Alahai Manisnya Aduh Pahitnya
16. Gurindam Jiwa 50 Tahun Merdeka
17. Anak-anak Dari Kampung Pasir Pekan II (Dewan Sastera)

Dapatkan buku ini dari Ujana Ilmu.

Buku-buku Fatimah Busu yang lain ada di sini.

Khamis, September 03, 2009

Siapa patut jadi suami pengarang?

Seorang calon penulis pernah bertanya kepada saya : lelaki bagaimanakah yang harus menjadi pilihannya jika dia mahu terus menjadi penulis selepas berumah tangga kelak. Saya tidak segera menjawab kerana soal jodoh dan pertemuan ini seseungguhnya kerja Allah. Namun, sebagai manusia kita boleh dan patut berusaha, berdoa dan bertawakkal.

Saya katakan kepadanya - kalau mahu menjadi penulis, usah kahwin dengan penulis. Dia terkedu. Gagal mencari logiknya. Bukankah orang yang sama bidang seharusnya lebih memahami. Dia menduga saya kembali.

Saya teringat kata-kata Puan Selina SF Lee, isteri kepada penyair Dr. Lim Swee Tin. Walaupun sama-sama menulis, dia sering disalahertikan. Ada suara (sumbang) yang menyatakan yang sajak-sajak Selina itu ditulis oleh Lim Swee Tin. Sebagai penulis dan penyair, pastinya dia kecewa dituduh begitu. Lalu dalam suatu majlis pengakuan penyair yang pernah dianjurkan oleh PENA lama dahulu, katanya pepatah Cina ada menyebut - di dalam suatu lembah, tak boleh ada dua harimau.

"Lantas, kalau penulis bukan calon terbaik untuk saya, siapa yang boleh saya nikahi dalam memberi jaminan bahawa saya akan dapat terus menulis?" lebih dalam dia menduga saya.

Saya menggeleng. Tidak ada sebarang jaminan dalam kehidupan ini. Apatah lagi dalam perkahwinan kerana Allah SWT telah mengatur segala-galanya. Dia yang Maha Mengetahui. Namun, kita boleh teruskan usaha.

"Carilah pasangan yang boleh menghormatimu sebagai pengarang," kata saya.

Calon itu mestilah boleh memberi ruang menulis :
  • ruang masa
  • ruang tempat
  • ruang membaca
Dia tidak mengganggu sewaktu pengarang sangat perlukan konsentrasi. Biasanya takkan sampai sehari suntuk. Dapat konsentrasi selama sejam lebih pun (maksimum 2 jam) pun sudah cukup bagus, kalau kita tahu bagaimana untuk mengoptimumkan masa yang diberi.

Pasangan juga tidak cuba 'menguasai' laptop/komputer pengarang, ketika pengarang itu sangat perlukan alat penulisannya pada ketika itu. Sebaik-baiknya pengrang tidak berkongsi laptop dengan sesiapa pun. Pengarang tidak akan 'menghalau' orang lain yang menggunakan laptopnya itu dengan jelas, seperti berkata, "Saya nak menulis ni, tolonglah..." Pengarang tidak mungkin berkata begitu. Kalau boleh, ketika cetusan untuk menulis itu datang, laptopnya sudah bersedia untuk diketuk. Apabila ada orang sedang menggunakan laptopnya, ibarat salur darah tersumbat, jantung terus mengepam darah dan nanti salur darah pecah - dan akibatnya, boleh difikirkan sendiri. Oleh itu, kepada pasangan pengarang, cuba untuk menjauhi aktiviti menguasai alat penulisan isteri.

Calon suami pengarang haruslah tidak terlalu mengkritik jika pengarang membeli buku dalam jumlah yang 'membeliakkan mata' - kerana itu ialah pelaburan yang pengarang harus lakukan:
  • bahan bacaan berkualiti menjadi asas pemikiran yang baik;
  • pemikiran yang baik lagi kritis boleh melahirkan pengarang yang kritis
Pasangan pengarang itu haruslah mampu memberi kata-kata perangsang kepada pengarang seikhlas mungkin, bukan dibuat-buat. Kalau tak mampu memuji dengan ikhlas, tak kata apa-apa pun adakalanya lebih baik daripada berkata yang bukan-bukan yang boleh membunuh semangat pengarang.
  • kata-kata suami itu umpama azimat. Isteri boleh ditawan oleh kata-kata, dia juga boleh dibunuh dengan kata-kata, dia nanti boleh membenci hanya kerana kata-kata.
Saya doakan mereka yang mencari pasangan akan bertemu pasangan yang mampu memberikan segala bentuk sokongan untuk menulis. Tidak semestinya, pasangan penulis itu mesti membaca setiap buku ataupun karya pasangannya. Sokongan moral itu adakalanya bermakna tolong bawa anak-anak keluar bermain supaya isterinya dapat menumpukan masa lebih kurang sejam. Paling kejam jika pasangannya memperkecilkan kebolehan pengarang apatah lagi apabila pengarang itu baru bermula. Mana ada orang yang apabila lahir terus berlari. Kalau betul ada yang begitu, pastinya bukan anak manusia, anak zirafah barangkali!

Pun, kriteria ini tidak semestinya sesuai untuk semua orang. Bukankah setiap orang itu unik dan mempunyai kehendak yang berbeza.
.
.

Selasa, September 01, 2009

Dapatkan Majalah Dewan Sastera September 2009


Jika berminat untuk mendapatkan maklumat tentang hal-hal sastera, bacalah Dewan Sastera. Untuk bulan September, majalah ini memfokuskan tentang penulis muda. Saya telah diberi penghormatan bagi menghiasi kulit dalamnya. Oleh itu, ada beberapa karya, artikel dan puisi saya disiarkan pada bulan ini.

Berikut beberapa keratan yang dipetik dari Dewan Sastera :

Cerpen saya, "Aset Istiqamah" yang memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Berunsur Islam ke - 12 telah diterbitkan pada bulan ini.


Sebuah sajak khas, kenang-kenangan terhadap seorang sahabat seperjuangan yang lembut bicaranya, tenang peribadinya dan paling tidak gemar mencari kontroversi serta berlaku jujur di dalam persahabatan telah saya abadikan di dalam sajak berjudul "Kembalikan Hizairi, Sahabat Kami Itu".



Sedikit catatan tentang peralihan saya daripada menjadi peguam kepada menjadi pengarang sepenuh masa. Turut dinukilkan proses kreatif "Lentera Mustika".










"Lentera Mustika" telah diperkenalkan dan diulas secara ringkas oleh Shasha.

Faisal Tehrani turut mengambil peluang memberikan kritikan mengikut teori feminisme. Jangan bimbang jika anda tidak tahu apa itu tautologi. Seorang sarjana sastera harus mengambil satu teori dan cuba menyumbatkan karya pilihannya ke dalam teori tersebut. Kritikannya menyorot sudut lain tentang novel ini.























Saya juga mengulas karya terbaharu Dr. Rahmat Haroun Hashim, "Panggil Aku Melaju". Harapan saya, lebih ramai yang akan mencari novel ini. Sangat baik untuk mereka yang suka berfikir dan mahu merenung tentang asal-usul Melayu.



Jika ada sesiapa yang mungkin berminat untuk mendapatkan majalah Dewan Sastera edisi September 2009 tetapi majalah ini TIDAK dijual di tempat anda, ataupun anda memang malas sangat-sangat hendak ke kedai buku, tidak ada masalah.

Sila e-melkan kepada saya : nisah.haron@gmail.com dengan tajuk "Mahu Membeli Dewan Sastera September 2009".

i) nama penuh
ii) alamat penuh
iii) nombor telefon
iv) maklumat pembayaran

Harga majalah RM6.00 + kos pos RM4.00 (Pos Ekspres) = RM10.00

Boleh bayar ke mana-mana akaun berikut :

Nama : Mohd Shukri Nasir
Bank : Maybank
Cawangan : Seremban
No. Akaun Simpanan: 164016002847

Nama : Ujana Ilmu Enterprise
Bank : AMBank
Cawangan : Seremban
No Akaun Semasa : 009-201-101171-6

Nama : Mohd Shukri Nasir
Bank : CIMB
Cawangan : Seremban
No Akaun Simpanan : 05140008925522

Nama : Mohd Shukri Nasir
Bank : Bank Islam Malaysia Berhad
Cawangan : Seremban
No Akaun Simpanan : 05-012-02-036500-2


Tolong e-mel maklumat segera selepas pembayaran dibuat. Saya tidak akan tahu secara automatik jika tidak dimaklumkan. Boleh bayar dulu, kemudian e-mel supaya anda tidak menghantar e-mel 2 kali.

(Oh ya, tolong jaga bahasa di dalam e-mel ya!)

Sahabat-sahabat yang ada nombor telefon saya, boleh pesan melalui SMS. Namun, kaedahnya sama seperti mereka yang memesan secara e-mel.

Naskhah yang ada pada saya amat terhad. Jadi, saya terpaksa mendahulukan sesiapa yang telah membuat pembayaran terlebih dahulu.

Saya fikir arahan di atas agak mudah difahami. Jika ada perkara yang saya tertinggal dan perlukan penjelasan, boleh e-mel ataupun tinggalkan di ruang komen.

Terima kasih.
.
.
.
Related Posts with Thumbnails