Isnin, Mac 29, 2010

Kerja Kraf Hujung Minggu

Batu-batu di laman ini dikutip anak-anak. Lalu mereka merengek mahu buat kraf seperti yang mereka baca dari buku 'Kak Emila'nya. Jadi, saya pun minta setiap seorang cari seketul batu, bersihkan kemudian jemur.

Setelah kering, kami pun buka buku Seni dan Kraf bersama Kak Emila. Anak-anak mahukan yang serupa seperti di dalam buku itu. Lalu, saya minta mereka pilih imej gambar yang mahu dilukis dan warna.

Batu pilihan Angah, saya dapati sesuai untuk bentuk kumbang dan Along pula mahukan gambar kucing tidur. Oleh sebab hanya ada dua contoh gambar batu yang sudah dilukis di dalam buku itu, Alang tidak terfikir mahu lukis apa, walaupun dia sudah ada batunya sendiri. Bentuk batu pilihannya ada rupa kerang, lalu saya cadangkan kepadanya. Dia bersetuju dan saya minta dia pilih warna. Lalu, aktiviti kami pun bermula...

Melukis ialah aktiviti yang tidak selalu saya lakukan. Setelah ada anak-anak, saya mula mengakrabinya. Itu pun lebih kepada mahu melayan anak-anak setelah mereka berjanji mahu sempurnakan kerja rumah. Sahabat saya Dr. Mawar, juga mengisi masa untuk menghilangkan stres dengan melukis botol-botol terpakai. Saya masih menyimpan beberapa koleksi botol lukisannya di dalam perpustakaan.

Pada mulanya, saya tidak arif untuk melukis di atas kaca kerana tidak kenal pada jenis warna dan cat. Tentu sekali, tidak boleh guna warna air untuk melukis di atas botol. Kemdian saya berkenalan dengan warna jenis akrilik. Bagi orang yang biasa melukis, ini bukanlah pengetahuan baharu. Warna ini mudah lekat pada kaca, tanah liat, plaster of paris (yang boleh diubah menjadi macam-macam bentuk mengikut acuan).

Semalam, saya bermain warna sendirian. Melepaskan rasa tegang dan ketika ruang menulis saya terganggu. Hasilnya, memang seperti macam orang baru belajar melukis. Lihat sahaja botol kosong di sebelah. Namun, anak-anak saya suka. Ia semacam menyokong kerja-kerja melukis yang mereka suka lakukan.

Inspirasi corak batik 'kala jengking' ini tidak berapa simetri. Tidak mengapa, yang penting dalam membuat kerja-kerja seni sama ada melukis ataupun menulis, ialah keseronokan. Jika aktiviti ini tidak membuat hati rasa gembira, maka itu bukanlah aktiviti pilihan pada waktu santai.





Jumaat, Mac 26, 2010

Pesta Buku Antarabangsa KL 2010 - Siri 3


Jaringan terakhir?

Barangkali ini ialah hasil tangkapan terakhir untuk PBAKL 2010. Saya tak fikir akan ke sana lagi. Memandangkan hujung minggu ni ramai pengunjung yang cash rich sebab gaji pun dah masuk. Saya tak pasti saya mahu meredah lagi lautan manusia di PWTC. Namun, jika ada peluang dan alasan yang kuat untuk pergi menjaring, rezeki tak akan saya tolak. (Nisah, yang masih tak insaf-insaf lagi setelah bahu, pinggang, kaki dan satu badan sakit-sakit akibat memikul buku yang banyak!)

Ini pembelian semalam :
  1. Bila Allah Menduga Kita - Syed Alwi Alattas (Mustread)
  2. Bila Zina Jadi Budaya - Mohd Syamil & Adrianna Balqis (Mustread)
  3. Jeriji Kasih - Ramlah Rashid (DBP)
  4. Harga Remaja - Teks KOMSAS Tingkatan 4 (DBP)
  5. Resepi 100 Nasi (Jab. Kebudayaan dan Kesenian Malaysia)
  6. 1oo Pepatah Petitih Melayu - Siti Zainon Ismail (ITNM)
  7. Kembara Seorang Hamba - Dato' Shahnon Ahmad (Alaf21)

  8. Seni dan Kraf Bersama Kak Emila: Kartun Haiwan (PTS Pro)
  9. Seni dan Kraf Bersama Kak Emila: Kraf Kitar Semula (PTS Pro)
  10. Seni dan Kraf Bersama Kak Emila: Kad Ucapan (PTS Pro)
  11. Seni dan Kraf Bersama Kak Emila: Kraf Alam (PTS Pro)
  12. Seni dan Kraf Bersama Kak Emila: Origami (PTS Pro)
Tiada di dalam gambar ialah buku-buku yang dipesan orang dan juga pembelian untuk stok Ujana Ilmu.

Setelah 3 siri tayangan buku-buku yang dibeli di PBAKL 2010 ditulis di blog ini. Saya harap tidak ada yang salah anggap. Ini bukan entri menunjuk-nunjuk atau sengaja hendak membangkitkan rasa iri kepada sesiapa yang tidak berkesempatan untuk ke sana.

Saya lakukan ini supaya orang lain yang mahu berkunjung ke PBAKL mendapat idea hendak cari buku apa, ataupun terlepas pandang akan mana-mana buku yang mungkin dicarinya. Saya suka melihat koleksi buku-buku orang lain supaya saya masukkan buku-buku yang belum dibeli ke dalam senarai pembelian. Jadi, saya kongsi koleksi yang telah saya peroleh untuk panduan pembeli yang lain. Insya-Allah, sebahagian daripada koleksi saya ini merupakan judul yang bakal dijual di Ujana Ilmu. Nantikan sahaja apabila kami sudah bersedia kelak, buku-buku ini juga boleh anda miliki.

Buku KOMSAS pun beli? Ya, saya memang pengumpul buku-buku KOMSAS sejak program ini diperkenalkan. Inilah masanya untuk menyimpan koleksi terbaik kerana buku-buku ini hanya diterbitkan untuk musim ini sahaja, selepas tamat tempoh KOMSAS buku ini tidak akan dicetak lagi. Jadi, jika berminat, lebih baik beli sekarang sebelum tempohnya luput.

Peribadi, saya suka kulit buku Jeriji Kasih. Lebih lembut dan lunak daripada kulit asalnya. Ini suatu pembaharuan. Namun, warnanya sangat feminin dan mungkin pelajar lelaki 'tidak selesa' untuk mengusung buku berwarna merah jambu ke mana-mana!

Buku-buku Kraf Emila Yusof memang akan ada peminatnya sendiri. Anak-anak saya sudah selesai mencuba lukisan Kartun Haiwan, khususnya anak saya yang ketiga. Tekniknya mudah dan saiz bukunya juga sesuai untuk kanak-kanak. Tahniah PTS!




Koleksi Buku Dr. Siti Zainon yang sangat bermaruah!

Inilah yang baru saya namakan sebagai buku-buku yang bukan sahaja berkualiti tetapi bermaruah. Siti Zainon antara penyair wanita kegemaran saya selain Siti Zaleha Hashim, Zurinah Hassan dan Mahaya Mohd Yassin. Berbanding 3 yang lain, saya mengenali Siti Zainon sebagai pelukis dan amat menyenangi hasil lakaran (sketching) yang dihasilkan.


Buku Kasih Bonda (DBP, 2008) memang masih menjadi koleksi kegemaran kerana persembahan yang paling bermaruah yang pernah dihasilkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Syabas, DBP! Sayangnya, buku ini entah sudah dicetak ulang ataupun belum. Khabarnya, Kasih Bonda hanya dicetak sebagai 1,000 naskhah. Lebih kurang 800 naskhah sudah dibeli oleh PNM dan bakinya tentulah pengarangnya sendiri membeli untuk tujuan peribadi.

Soal promosi dan pemasaran Dawama terhadap buku ini, saya malas hendak mengulas. Masih lagi cerita lama.



Tiga kali saya berkejar ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (PBAKL 2010) untuk mendapatkan buku 100 Pepatah Petitih Melayu (ITNM, 2010). Pada kali pertama dan kedua, bukunya masih belum sampai ke PBAKL 2010. Sebelum membelinya, saya fikir ITNM akan mengekalkan saiz seperti novel-novel dan karya terjemahan ke dalam Bahasa Inggeris yang pernah dilakukan ke atas buku puisi Siti Zainon Bait Senandung Malam, tetapi saya dapat perasaan gembira yang luar biasa berganda apabila melihat sendiri saiz bukunya.

100 Pepatah Petitih Melayu juga bersaiz A4 seperti Kasih Bonda! Dan, seperti Kasih Bonda, pembaca dapat menikmati lakaran dan juga puisi pendek untuk setiap pepatah dalam satu spread. Lihat imej di bawah:



Saya sejak lama dulu percaya bahawa buku puisi tidak boleh dipersembahkan dengan gaya konvensional, iaitu buku puisi dicetak sama saiz dengan novel ataupun sekadar besar sedikit dari novel (saiz buku motivasi) dan hanya gabungan kertas putih dan teks. Persembahan buku puisi haruslah lebih kreatif daripada itu. Puisi hanyalah kata-kata yang mati selagi tidak dimaknakan oleh pembaca ataupun penikmat puisi. Berterus terang sahajalah, berapa ramai pembaca karya kreatif yang mampu menikmati puisi? Jika kita hitung dengan cara mengangkat tangan sahaja, saya percaya jumlah pembaca puisi jauh lebih kecil daripada pembaca cerpen apatah lagi pembaca novel.

Lantas, puisi tidak harus kalah dengan genre lain dan tidak boleh bersaing di padang genre lain. Persembahan buku puisi harus ada identiti genrenya yang tersendiri dan terpulanglah kepada kebijaksanaan penerbit untuk menghasilkan sesuatu yang tidak konvensional dan di luar kotak.

Baru-baru ini saya berbisik-bisik dengan seorang editor yang syarikatnya baru 10 tahun menjadi pemain di dalam arena penerbitan. Beliau sedang memikirkan kaedah yang luar biasa untuk meyakinkan jabatan pemasarannya supaya syarikatnya juga boleh menerbitkan buku-buku puisi. Syarikatnya juga sudah mula berani menerima mansukrip kumpulan cerpen daripada pengarang yang sukar mendapat tempat ataupun beratur panjang di DBP.

Saya tabik editor dan juga syarikat ini yang berani untuk mencuba sesuatu yang di luar lingkungan kebiasaan. Ketika orang di Dawama pernah mengkritik saya dan kawan-kawan yang "asyik hantar cerpen dan puisi ke DBP, macam mana kami nak jual. Tapi, novel-novel bagus korang hantar ke tempat lain", dan tidak percaya dengan produk sendiri, sudah ada penerbit lain yang sanggup untuk terbit cerpen dan puisi dan novel-novel kami yang baik dan bernilai sastera juga.

Bukankah saya pernah tulis dahulu: jika orang pemasaran itu menguasai bidangnya, tentu sahaja dia boleh menjual seketul ais, hatta kepada orang Eskimo! (Barulah mereka jadi orang pemasaran yang tidak penasaran.)

Syabas, editor DBP dan ITNM yang menerbitkan buku-buku bermaruah seperti yang dihasilkan oleh Dr. Siti Zainon. Teruskanlah menghasilkan buku-buku yang baik ini. Pembaca seperti kami mendambakan bahan-bahan yang menghormati kami sebagai pembaca.

Terima kasih kerana meyakini bahawa buku itu bukan sekadar himpunan kertas, kuras dan tinta!

Buku ini boleh dibeli secara online dari Ujana Ilmu. Sila klik di sini.

Selasa, Mac 23, 2010

Esdyzuar ada di PBAKL!



Kepada yang masih lagi mencari buku Puisi Untuk Esdyzuar, saya dapati novel saya ini masih dijual di booth Al-Ameen Serve.

Silakan ke : TR 3 (Tun Razak3) booth D44-47.

Semoga pencarian anda lengkap di PBAKL 2010.


Isnin, Mac 22, 2010

Pesta Buku Antarabangsa KL 2010 - Siri 2


Hasil 'tangkapan' setelah meredah gelombang kedua. Samudera manusia di PBAKL agak mengganas tetapi tidak seganas yang dibayangkan. Barangkali, ramai yang masih menunggu untuk menyerang pada minggu depan (baca : masa itu gaji sudah masuk).
Di gerai Galeri Ilmu, ketika singgah sempat membeli buah tangan terkini Ustaz Hasrizal @ Saiful Islam Secangkir Teh Pengubat Letih dan sempat juga mendapatkan tandatangannya. Walaupun gerai penuh sesak, Ustaz Hasrizal tenang dan terus tersenyum melayani pembacanya.

Buku tentang penulisan - Writing Well - saya temui di booth Cambridge University Press di Aras 4 bagi melengkapkan lagi buku-buku tentang penulisan yang saya sering tekuni.
Tiada dalam gambar, buku-buku untuk anak-anak yang sempat saya beli dari Galeri Ilmu dan juga Sasbadi. Buku-buku itu telah 'disambar' sebaik-baik sahaja saya sampai ke rumah. Koleksi "Tell Me About..." yang diterbitkan dalam 6 siri itu sudah lama saya idam tetapi hanya pada PBAKL kali ini saya sempat membelinya.

2 buah CD diperoleh dari gerai Hijjaz Records bersama-sama dengan buku Kitab Ilmu Perubatan Kesufian (Thinkers Library).

Berikut senarai pembelian semalam :

  1. Tell Me About The Creation (Harun Yahya - Goodwordkidz)
  2. Tell Me About Islamic History (Luqman Nagy - Goodwordkidz)
  3. Tell Me About Hajj (Saniyasnaik Khan - Goodwordkidz)
  4. Tell Me About Musa (Saniyasnaik Khan - Goodwordkidz)
  5. Tell Me About Yusuf (Saniyasnaik Khan - Goodwordkidz)
  6. Tell Me About Muhammad (Saniyasnaik Khan - Goodwordkidz)
  7. Kamus Nilai (Zainudin Ismail - Al-Ameen Serve Holdings)
  8. Pahlawan Islam Kontemporari (Atriza Umar - Nisamedia)
  9. Nothing Is Sacred (Salleh Ben Joned - Maya Press)
  10. Writing Well (Mark Tredinnick - Cambridge University Press)
  11. Kitab Ilmu Perubatan Kesufian (Sheikh Hakim Moinuddin Chishti - Thinker's Library)
  12. Secangkir Teh Pengubat Letih (Hasrizal Abdul Jamil - Galeri Ilmu)
  13. CD Marhaban Ya Rasul - Asri Ibrahim (Hijjaz Record)
  14. CD Alunan Istighfar - Munif Ahmad)
* * *

Pada sebelah petangnya, saya ke booth PTS untuk sesi bersama-sama pengarang. Sepatutnya, saya dijadualkan sendirian di pentas. Namun, kehadiran Sinaganaga yang turut mempromosi Stingarden serta Nazri Anuar dengan Karipap Cinta amat menggamatkan keadaan. Saya perhatikan penonton tidak kering gusi dengan telatah mereka berdua yang amat menghidupkan sesi kami. Jika tidak, pastinya sesi saya seorang akan jadi amat 'serius'.


Gambar : Dari kiri - Nazri, Sinaganaga dan Nisah Haron

Sepatah kata Sinaganaga di dalam sesi kami: "Ketiga-tiga penulis yang berada di atas pentas ini merupakan penulis kelahiran April kerana Puan Nisah dan Encik Nazri lahir pada 20 April, dan saya sendiri pada 18 April. Oleh itu, kesimpulannya, penulis yang lahir dalam bulan April memang pandai menulis!"

Terima kasih kepada pihak PTS, khususnya para editor di PTS Litera (Puan Asma [gambar di sebelah], Faizah, Faslin dan kawan-kawannya) yang bertungkus-lumus mempromosi buku serta pengarangnya. Saya terasa amat dihargai.

Buat pertama kalinya, buku saya 'bersepah-sepah' di merata-rata kedai buku seluruh Malaysia. Tidak kedengaran lagi sesiapa yang merungut buku saya sukar dijumpai. Kali ini buku saya dapat bersaing dengan adil di kedai-kedai buku. Jika orang tidak membaca buku saya, itu pilihan pembaca. Bukannya mereka tidak membaca kerana buku tidak ada di kedai.

Insya-Allah, saya akan terus memberikan sokongan kepada penerbit seperti PTS dan penerbit-penerbit yang menghargai penulisnya. Dunia penerbitan buku bukan tugas bersendirian. Ini tugas bersama-sama : pengarang, editor, penerbit, pemasaran, promosi, kedai buku dan juga pembaca.

Sumber gambar segmen kedua : Blog & Facebook Sdr Nazri.


Jumaat, Mac 19, 2010

Pesta Buku Antarabangsa KL 2010 - Siri 1

Inilah hasil 'tangkapan' setelah meredah ombak samudera buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 untuk hari pertama. Kriteria pembelian buku-buku ialah mengikut tahap kesukaran untuk mendapatkan buku-buku ini di pasaran terbuka. Terus terang, saya tidak berapa terliur dengan harga murah yang ditawarkan. Ini bukanlah kerana saya banyak wang untuk membelinya. Pada saya, pembelian buku-buku di Pesta Buku mestilah buku yang sukar untuk saya dapatkan dari cara-cara biasa, seperti di kedai-kedai buku. Atau, buku-buku itu boleh saya beli berserta dengan tandatangan pengarangnya sekali ataupun ada pakej buku istimewa yang tidak ditawarkan oleh kedai buku biasa.

Lantas, hasil 'tangkapan' hari ini adalah seperti yang berikut :-

a) Alat Muzik Tradisional Dalam Masyarakat Melayu di Malaysia (Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara)
b) Bahagi Biar Adil (Md Ghazali Ibrahim - Mustread)
c) Nota Wasiat (Md Ghazali Ibrahim - Mustread)
d) Urus Harta Sebelum Mati (Md Ghazali Ibrahim - Mustread)
e) Menulis Ulasan Buku untuk Akhbar Majalah & Jurnal Ilmiah (Roosfa Hashim - Jahabersa)
f) Majalah Islamica - edisi terakhir (Februari 2009)
g) Anyaman Pandan dan Mengkuang (Kraftangan Malaysia)
h) Seni Dalam Senjata Melayu (Kraftangan Malaysia)
i) Motif-motif Batik (Kraftangan Malaysia)
j) Batik Tulis - Sistem Pengeluaran dan Teknik-Teknik Pembuatan (Kraftangan Malaysia)

Jumlah pembelian : RM87.50
Nilai buku : Tidak ternilai - terutamanya a), g) hingga j)


Rabu, Mac 17, 2010

Hidup dengan Deadline


Gambar : Bersama-sama mahasiswa/i undang-undang di Moot Court, COLGIS


Saya di UUM, Sintok. Mendapat undangan untuk memberikan ceramah kepada sekumpulan calon penulis. Sebaik-baik sahaja kapal terbang mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star, saya dijemput wakil pelajar. Saya terus dibawa ke COLGIS - College of Law, Government and International Studies. Terus saya diiring ke Mahkamah Moot.

Bengkel ini sepatutnya bermula pada 12 Mac 2010. Namun, atas kebijaksanaan pengurusan, sesi ini sehari lebih awal; dan mereka mengambil kesempatan untuk saya berbahagi pengalaman menjadi peguam dan penulis kepada para pelajar jurusan undang-undang sebelum bengkel sebenar. Tidak lama. Saya bercakap sekitar 45 - 50 minit. Antara soalan yang popular ialah bagaimana saya menguruskan masa. Mereka tidak dapat membayangkan bagaimana saya menguruskan firma guaman dan masih sempat menulis (ketika saya masih menjadi peguam) dan kini menjadi penulis sepenuh masa dan menguruskan keluarga dan anak-anak. Bagaimana saya masih boleh sempat menulis di celah-celah keriuhan anak-anak?

Jawapan saya mudah.

Hiduplah dengan deadline - tarikh akhir, kata saya.

Gambar : Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (COLGIS)

Mungkin ada kalangan wartawan (yang mungkin membaca catatan ini) berkata, "Aku lagikan hidup dengan deadline. Tak perlulah nak bercakap tentang apa itu deadline."

Ya, hidup dengan deadline. Saya tetap mempertahankannya. Jika saya tidak hidup dengan deadline, pasti banyak tugas saya yang tidak selesai.

Deadline bukanlah untuk membunuh ataupun mendera diri sendiri. Deadline ialah suatu peringatan kepada tugas yang mesti disudahkan. Deadline ialah kaedah mendisiplinkan diri. Menepati deadline juga satu daripada amanah.

Deadline itu juga haruslah praktikal lagi munasabah. Jangan membuat deadline yang tidak terjangkau. Deadline juga haruslah spesifik. Misalnya, katakan anda bercadang untuk menulis novel.

Bila anda mahu siapkan novel itu?

Satu tahun? Enam bulan? Tiga bulan?

Ok, itu deadline jangka panjang. Katakanlah anda pilih satu tahun. Untuk menyiapkan novel itu, deadline satu tahun tidak cukup spesifik. Dalam setahun ada 12 bulan. Dalam sebulan itu, berapa bab yang boleh disasarkan untuk siap?

Satu bab? Dua bab? atau kalau mungkin lebih produktif anda mampu menyiapkan 4 bab sebulan. Ini bererti anggaran penulisan itu ialah satu minggu satu bab. Munasabahkah? Jika ya, teruskan.

Oleh sebab anda mahu menulis satu minggu satu bab, di dalam satu hari berapa pula jam yang mungkin anda mampu peruntukkan untuk menangani setiap bab. Akhirnya nanti, anda akan lihat, di dalam tempoh satu jam berapa banyak sebenarnya yang anda mampu menulis.

Di dalam entri yang lepas saya ada tunjukkan satu jadual menulis. Tidak semestinya ikut jadual itu. Itu sekadar cadangan daripada saya. Setiap penulis pasti ada perancangan penulisan yang munasabah baginya. Kata kuncinya di sini ialah munasabah. Jika tidak munasabah, jiwa kita akan menolaknya.

Akhirnya nanti, anda akan lihat sendiri di dalam tempoh 15 minit, misalnya, berapa banyak yang mampu anda tulis jika tempoh 15 minit itu digunakan secara optimum. Apa yang boleh ditulis dengan masa 15 minit?, anda mungkin bertanya. Ya, 15 minit itu nampaknya pendek. Namun, bukankah masa itu sifatnya relatif. Bukan masa yang panjang atau pendek yang menentukan kita mampu menyelesaikan sesuatu perkara. Yang penting, satu tugasan itu dapat diselesaikan.

Apabila masa yang dilihat panjang ataupun tugasan yang kelihatan besar dipecah-pecahkan kepada saiz yang lebih munasabah untuk ditangani, anda akan lihat sendiri betapa tidak sukar untuk menguruskan masa dan juga amanah (tidak semestinya dalam penulisan sahaja). Memaksa diri menyudahkan satu perkara yang sepatutnya dibuat dalam tempoh 2 minggu tetapi disudahkan dalam masa 2 jam, tidak menjadikan kita lebih matang di dalam pengurusan masa.

Hidup dengan deadline.

Setiap hari, saya harus menjadi ibu, isteri, penulis. Itu yang hakiki. itu belum masuk permintaan-permintaan ad hoc, misalnya, beri ceramah, layan tetamu/pelanggan yang mahu beli buku (sama ada yang datang sendiri ataupun melalui panggilan telefon). Membantu pengurusan Ujana Ilmu juga sebahagian daripada tugas yang tidak boleh diketepikan. Anak-anak yang masih kecil tentulah menambah lagi tugas-tugas ad hoc. Hati memang boleh cepat jadi baran jika diri tidak dapat dikawal.

Namun, saya hidup dengan deadline yang munasabah. Tidak guna kita terlalu ambitious dalam melakukan kerja tetapi akhirnya satu pun tidak berjaya. Oleh itu, bahagikan masa 24 jam itu kepada jumlah-jumlah kecil. Tanyalah kepada diri sendiri, bagaimana mungkin anda memanfaatkan setiap saat yang ada. Lebih sibuk jadual anda, saya percaya, banyak masa yang boleh dicuplik. Paling penting, elakkan kerja bertangguh. Lakukan apa yang boleh dilakukan pada hari ini, sekarang. Bukan sebentar lagi, kerana kita tidak tahu apakah tugas-tugas ad hoc yang akan sampai. Paling tidak pun, nanti ada kawan yang singgah untuk ajak minum. Hendak ditolak tak sampai hati. Jadi, kita pun layan sebentar, sedangkan masa terus berlalu dan tidak pernah sedetik pun menunggu sesiapa.

Selasa, Mac 09, 2010

Bengkel Penulisan Kreatif: Bakat atau Asuhan?


Menarik di dalam Dewan Sastera Mac 2010 (dipetik dari laman Facebook Dewan Sastera) :

"Fokus
Fokus bulan Mac Dewan Sastera mengupas sejauh mana bengkel penulisan sastera melahirkan penulis.

Penulis wanita terkenal Nisah Haron menimbang jika Bengkel Penulisan Kreatif: Bakat atau Asuhan?. Pegawai sastera, Ja’afar Haji Hamdan meniti sejarah dan perkembangan Melahirkan Penulis Melalui Bengkel Penulisan."


Ikuti juga Laporan Panel Hakim Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM 2006/2007) di dalam keluaran kali ini.

Khamis, Mac 04, 2010

"Perlahankanlah Debar Jantung Ini"


Ainur Mustika mengalihkan pandangannya yang ditikam tepat lelaki itu. Restoran itu tidak terlalu penuh. Dia sempat mengimbas kenangan di tempat ini. Restoran di hotel inilah yang menyaksikan Emir Johan menawarkan sumbangannya supaya Ainur Mustika dapat memenuhi hasrat untuk ke konferens itu.

“Oh, sebelum terlupa ini oleh-oleh dari Shanghai.”

Beg plastik yang bawa bersama-sama itu diserahkan.

“Terima kasih.” Emir Johan segera menyambut langsung meninjau ke dalam beg itu. “Boleh saya buka di sini?”

Ainur Mustika mengangguk.

Sebuah kotak bersaiz satu kaki tinggi dan lima inci lebar dan tebal dikeluarkan. Mata Emir Johan yang penuh dengan tanda tanya itu menjeling sekilas melihat reaksi wajah wanita di hadapannya. Pada kotak itu tidak tertulis apa-apa. Hanya kertas kadbod warna perang muda. Isi kandungannya mengeluarkan bunyi apabila sekali sekala ia berlaga dengan dinding kotak itu.

“Wah! Uniknya. Saya fikirkan Prof menghadiahkan saya cerek air!”

Terlepas ketawa Ainur Mustika. Dia tidak menjangka demikian reaksi peguam itu.
“Takkanlah saya nak beri tuan barang ‘made in China’ yang bersepah di Malaysia.”

“Ya, sungguh. Tapi yang satu ini cukup unik. Belum pernah saya lihat. Apa namanya?”

“Ini sejenis seruling Cina. Sesetengah daerah memanggilnya ‘hulusi’. Bahagian tengah yang yang macam dua belon kecil itu ialah buah labu air yang dikeringkan. Kemudian disambung pada bahagian hujungnya dengan buluh.”

“Apa maksud ‘hulusi’ agaknya ya?”

“Menurut sebuah buku yang saya rujuk, ‘hulu’ bermaksud buah labu air dalam bahasa cina. ‘Si’ pula bererti sutera, kerana seruling ini mengeluarkan bunyi yang lunak dan lembut seperti sutera.”

“Prof tahu main seruling ini?” ujar Emir Johan sambil menghalakan muncungnya ke bibir.

“Saya tak pandai bermain alat muzik. Tapi, saya fikir seruling ini sangat sesuai untuk dijadikan cederamata kepada orang yang telah menghantar saya ke Shanghai.”

Emir Johan tidak jadi hendak meniup seruling itu. “Prof, bukan saya yang hantar Prof ke sana. Tapi kapal terbang yang Prof naik tempoh hari, bukan?”

Hilang sekali lagi keseriusan pada wajah pensyarah itu. “Ada-ada sahaja. Apa pun, saya tahu hadiah itu sangat kecil berbanding dengan apa yang tuan telah lakukan. Di sana minda saya lebih terbuka. Bergaul dengan ahli akademik yang pakar dalam bidang perundangan pula memberi saya perspektif yang berbeza tentang undang-undang.”

“Kalau itu yang Prof peroleh. Saya fikir hadiah ini amat besar nilainya. Seruling ini simbol sebuah hati yang sungguh-sungguh bahagia di Shanghai. Saya juga tumpang gembira. Tapi saya sedikit cemburu!”

Bundar mata Ainur Mustika mendengar ayat terakhir itu.

“Ya, saya cemburukan orang-orang di Shanghai yang mendengar dendangan syair dan gurindam yang merdu. Tetapi, saya hanya dapat mendengar beritanya sahaja.”

Ada senyuman lagi yang menyudahkan kata-kata itu.

“Tak mengapa, saya akan gantung ‘hulusi’ ini di pejabat saya. Kalau saya rindu akan suara Prof, nanti saya tiup seruling ini dan bayangkan suara Prof yang saya dengar di UM dulu. Saya juga akan jadi bahagia.”

Ainur Mustika tertunduk.

Pramusaji sampai dengan hidangan yang dipesan. Emir Johan menyimpan kembali seruling ‘hulusi’ dari Shanghai. Riak wajah riangnya masih berbaki.

Petikan novel "Lentera Mustika".

Saya akan berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di PWTC untuk sesi bersama-sama pengarang pada:

21 Mac 2010
4 - 5 petang
Gerai PTS - di seberang sungai


Related Posts with Thumbnails