Selasa, Januari 26, 2010

Milikan Terbaharu - Beatrix Potter : The Complete Tales


Maklumat buku :

# Title : Beatrix Potter The Complete Tales
# Hardcover: 400 pages
# Publisher: Warne; illustrated edition edition (October 19, 2006)
# Language: English
# ISBN-10: 072325804X
# ISBN-13: 978-0723258049
# Product Dimensions: 10.5 x 8.2 x 1.6 inches
(sumber : Amazon.com)


Hadiah untuk anak-anak yang suka membaca.

Buku ini juga saya beli setelah menonton filem "Miss Potter" (2006). Saya ingin dapatkan koleksi lengkap semua cerita kanak-kanak yang telah telah dihasilkan oleh Beatrix Potter lama dahulu.

Kepada yang pernah menonton filemnya, buku ini juga dilengkapi lukisan yang The Rabbits' Christmas Party yang tidak dilengkapkan ceritanya selepas Norman Wearne, sahabat dan juga wakil penerbit, meninggal dunia. Beatrix juga digambarkan oleh filem itu, hampir mengahwini Norman.

Saya pilih buku ini berbanding judul-judul lain kerana naskhah ini merupakan koleksi karyanya yang paling lengkap. Disertakan juga ilustrasi yang asli. Seperti yang diketahui, Beatrix Potter bukan sekadar penulis, beliau juga melukis sendiri setiap imej di dalam buku-bukunya.

Buku ini menjadi menarik dan sangat sesuai untuk bacaan kanak-kanak kerana tulisannya memang jelas disasarkan kepada kelompok itu. Menurut the making of - ada beberapa cerita yang ditulis di dalam buku ini asalnya, sebuah surat yang ditujukan kepada rakannya yang sakit. Ketika mengarang cerita itu, Beatrix masih lagi muda dan hampir sebaya dengan rakannya itu. Jelas, dengan memahami khalayaknya, Beatrix Potter dapat meyakinkan khalayak pembacanya.

Selain The Tales of Peter Rabbit, anak-anak saya juga menggemari The Tale of Squirrel Nutskin. Kini, anak-anak yang boleh membaca, boleh membaca mana-mana cerita kegemaran pada bila-bila masa. Ada 23 buah cerita di dalam koleksi ini. Ada juga bonus 4 kumpulan lukisannya beserta catatan mengenai lukisan tersebut - Three Little Mice, The Sly Old Cat, The Fox and the Stork dan The Rabbits' Christmas Party.

Mengikut laman Amazon.com, buku ini sepatutnya dijual dengan harga USD40, tetapi ketika saya memesannya buku ini dijual dengan harga USD25.20 - Tak sampai RM100 untuk buku yang menggunakan art paper, 400 halaman, penuh warna-warni! Pada saya, ini suatu pembelian yang amat bernilai dan buku ini boleh sahaja dibaca oleh cucu cicit kelak.

Selasa, Januari 19, 2010

Catatan tentang HSPM 2006/2007

Gambar : Plak untuk puisi eceran "Sumpah Setia Tanjung Piai"

Gambar : Plak untuk cerpen eceran "Pusaka Cendana"

Setiap kali saya naik pentas untuk menerima hadiah, ramai teman-teman yang gemar mengusik dengan nada kecindan, "Lepas engkau, engkau lagi." ataupun "Lepas ni, kau lagi yang naik ke?"

Andai diikutkan jiwa pengarang yang sensitif, mahu saja saya menjawab, "Iyalah, tahun depan saya tak naik lagi ke pentas ni." Namun, saya selalunya senyum saja dan mengucapkan 'alhamdulillah' kerana pastinya mereka sekadar mahu menceriakan suasana.

Untuk rekod dan pengetahuan, kali terakhir saya menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia ialah untuk sesi 1996/1997 menerusi cerpen Persidangan Agung Wanita Klasik. Selepas daripada itu saya tidak naik lagi di pentas HSPM.

Percayalah, sesiapa sahaja yang memenangi sebarang anugerah melalui proses pertandingan, bukan bermakna karya itu 100% sempurna ataupun 100% terbaik. Naskhah atau karya itu dilihat terbaik di kalangan yang bertanding. Naskhah itu dikatakan terbaik oleh panel yang menilai. Panel sentiasa berubah dan keputusan mereka walaupun muktamad, sifatnya masih subjektif.

Saya suka doa di dalam majlis malam tadi yang bunyinya lebih kurang begini :

Ya Allah, Kau berikanlah kerendahan hati kepada mereka yang menang; dan
Kau berikanlah mereka yang tidak menang itu kegigihan supaya mereka terus berusaha
.

Paling penting, bukan soal siapa menang, siapa kalah, berapa ribu si polan dapat?
Itu semua hal-hal remeh, material yang tidak kekal sifatnya.

Bukankah orang-orang yang mindanya hebat, bercakap tentang idea;
yang mindanya sederhana, bercakap tentang keadaan sekeliling; manakala
yang mindanya selebihnya hanya gemar bercakap tentang manusia lain.

Sempena tahun baharu hijrah dan masehi, marilah kita berubah. Berubah itu sebetulnya sukar. Berubah itu ertinya meninggalkan kebiasaan dan keselesaan. Namun, untuk berjaya, setiap insan mesti berubah.

Setiap pengarang ada amanah yang mesti disampaikan. Ilmu-ilmu khusus yang dipinjamkan kepada pengarang ialah satu bentuk fardhu kifayah. Dia mesti menyebarkan ilmu itu kerana sesungguhnya ilmu tersebut milik-Nya dan bukan untuk dimiliki oleh kita, hamba-Nya.

Tahniah kepada yang namanya tersenarai dalam HSPM kali ini. Tahniah berganda kepada yang tidak tersenarai namanya, tetapi masih tekal menulis hingga kini.

Semoga Allah terus memberkati usaha kita dan menanugerahkan ketajaman minda dan kemurnian ilham untuk memacu ummah yang cemerlang.

Isnin, Januari 18, 2010

HSPM 2006/2007

Tirai 2010 dibuka dengan anugerah rezeki daripada Allah S.W.T.
Biar pun tidak semewah rakan-rakan penulis lain, yang penting rezeki itu mesti berkat!
Alhamdulillah.


Saya menerima hadiah untuk karya eceran :
  • Cerpen - Pusaka Cendana
  • Puisi - Sumpah Setia Tanjung Piai

Jumaat, Januari 15, 2010

Fenomena Alam, Kuasa Allah

Lumix kecil - si LX29 sempat merakamkan gambar amatur di atas. Kalau anda tahu jenis penapis yang digunakan, barangkali anda tidak akan percaya. Mahu teka? Terpulang.

F4.0 1/500

AVA & Bengkel Penulisan


Gambar : Bengkel Novel AVA 2 pada 3 Januari 2010

Saya jarang-jarang menolak tawaran untuk menjadi pembimbing bengkel penulisan. Saya terima tanggungjawab itu bukan kerana saya ini perasan bagus ataupun hebat. Saya lakukan semua itu kerana ilmu yang sedikit ini bukan milik saya sepenuhnya. Saya percaya bahawa ilmu yang sedikit ini mestilah dipanjangkan kepada mereka yang berminat dan juga berhak mengetahuinya. Oleh itu, tanggungjawab menjadi pembimbing ialah suatu amanah yang sangat besar dan adakalanya menakutkan. Mengarang perkara-perkara yang berfaedah ialah satu bentuk fardhu kifayah jua.

Membimbing bengkel amat berbeza dengan menguruskan bengkel. Saya ada menerima pelbagai permintaan untuk mengadakan bengkel penulisan kreatif. Soalan yang kerap timbul ialah, "Bila puan hendak buat bengkel?"

Soalan ini sukar saya jawab. Saya tidak mempunyai tenaga yang khusus bagi menguruskan bengkel saya. Selalunya, pihak yang menghubungi saya itulah yang akan menguruskan hal-hal bengkel termasuk mencari peserta, menguruskan yuran, tempat, makan minum, bahan edaran dan sebagainya yang menjadi hal-hal teknikal. Ini dua perkara yang berbeza - menjadi pembimbing dan menguruskan bengkel.


Gambar : Bengkel Novel AVA 1 pada 12 Disember 2009

Ramai juga yang tidak memahami tugas menguruskan bengkel bukanlah tugas yang enteng. Lalu, saya memilih untuk tidak menguruskan bengkel sebaliknya menumpukan perhatian hanya kepada aspek bimbingan. Saya tidak mahu apabila tengah-tengah memberi kuliah, fikiran saya melilau membayangkan apakah minum pagi sudah sedia pada pukul 10.30 pagi. Lebih teruk lagi, kalau saya juga yang harus pergi melihat sama ada semuanya sudah tersedia.

Untuk itu, saya bergabung dengan pihak Astaka Villa Aksara (AVA), sebuah badan kecil yang bercita-cita besar. Hasrat murni AVA ialah melahirkan pengarang dan menyalurkan karya-karya yang baik kepada penerbit yang betul. Ini disebabkan ada beberapa calon pengarang yang kecewa apabila manuskripnya tertolak, sedangkan ada kemungkinan manuskrip tersebut dikirimkan ke penerbit yang tidak sesuai. AVA cuba mengambil peranan tersebut. Peranan saya hanyalah sebagai pembimbing dan penasihat dalam hal-hal hak cipta pengarang.

Ini tidak bermakna hidup mati saya dengan AVA. Saya masih lagi bernaung dengan PEN dan saya masih lagi memberikan bimbingan kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk berbengkel dengan saya. Namun, saya melihat AVA sebagai satu percubaan untuk menjadikan penulisan satu tugas profesional apatah lagi, pihak ini sedaya-upaya menguruskan AVA seprofesional yang mungkin.

Dengan PEN, saya masih terlibat sebagai pembimbing bersama-sama ahli PEN yang lain, juga saya kerapkali terlibat di dalam aspek pengurusan bengkel. Dengan AVA, saya lebih tertumpu sebagai pembimbing. Adakalanya, saya diundang untuk program Minggu Penulis Remaja (DBP) sebagai pembimbing ataupun moderator.

Seperti tulisan saya terdahulu, bengkel tidak melahirkan penulis.Saya masih percaya akan hakikat itu. Pengarang yang berwibawa lahir atas dorongan bengkel-bengkel penulisan dan yang lebih penting daripada kehendak dirinya sendiri. Kekuatan dan daya untuk berubah mestilah datang dari dalam bukan untuk memuaskan hati sesiapa. Saya tidak pernah mengatakan bahawa untuk jadi penulis masuklah bengkel sekian-sekian. Hal itu terpulang kepada calon pengarang itu sendiri.

Tiada paksaan dalam menyertai bengkel ! :-)

Ini bukan suatu kempen kepada AVA, PEN ataupun MPR. Ada juga banyak bengkel lain yang boleh disertai. Saya sekadar menawarkan pilihan yang ada. Setiap peserta yang bergabung dalam mana-mana afiliasi ini usahkah taksub di dalam perkumpulan masing-masing. Setiap bengkel ada kekuatan dan kelemahan. Yang penting, kita ambil yang baik-baik sahaja dan manfaatkan peluang yang ada. Saya kagum dengan usaha beberapa peserta yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mendengar karyanya diberi komen oleh pembimbing. Mereka ini sanggup berbelanja lebih.

Nah, kalau tidak dipecahkan ruyung, mana mungkin mendapat sagunya.

Akhirnya, tetapkanlah niat menulis.
Hanya kerana Allah!
.
.

Isnin, Januari 11, 2010

Suatu Hari Nanti...

Melalui beberapa pengalaman bertemu dengan individu yang berhasrat menjadi penulis, ada beberapa kelompok penulis yang dapat saya kenal pasti. Satu daripadanya ialah mereka yang selalu berkata begini kepada saya :

"Suatu hari nanti, saya akan tulis sebuah novel yang kisahnya bla bla bla..."

ataupun,

"Nantilah, semua ini saya akan tulis menjadi sebuah buku!"

Selalunya, saya tersenyum sahaja dan enggan memberi sebarang komen. Dan, kalau pada ketika itu saya berasa jengkel dengan ungkapan demikian, saya langsung saja memberitahu, "Tulislah sekarang, mengapa harus tunggu 'pada suatu hari nanti'?"

Pada ketika itu, keluarlah senarai alasan dan senarai 'menyalahkan orang/benda lain' mengapa dia tidak menulis.

Pengalaman menulis novel bersiri di dalam tiga media - Tunas Cipta, Aniqah & Wanita - mengajar saya banyak perkara. Antara yang paling terkesan ialah menulis novel bukannya boleh siap dalam masa satu malam ataupun satu minggu. Ibarat mahu menebang sebuah pokok yang agam dengan sebilah kapak yang kecil, kerja menulis memerlukan kesungguhan.

Menulis novel misalnya, harus ditulis ikut bab. Himpunan bab itulah yang akan membentuk sebuah novel. Himpunan bab yang tidak lengkap akan menjadikan novel yang tidak lengkap. Setiap bab mengandungi sejumlah halaman. Apabila jumlah halaman itu lengkap, maka lengkaplah sebuah bab.

Perhatikan sekali lagi bagaimana orang menebang pokok yang besar, khususnya di tepi jalan raya yang sibuk. Mereka tidak sekali-kali menebangnya dari pangkal sehingga menyebabkan pokok itu tumpang dan berkemungkinan melintang jalan raya ataupun menghempap talian elektrik. Pekerja akan memotong beberapa dahan, kemudian dipotong bahagian atas sekali dan akhir sekali, kerja pemotongan dilakukan secara sedikit demi sedikit dan berhemah. Kalau pun ada bahagian jalan yang harus ditutup untuk tujuan keselamatan, barangkali satu lorong sahaja.

Demikian juga dengan aktiviti menulis. Mahu menulis sebuah mahakarya yang hebat pada usia emas? Mengapa tidak mulakan sekarang? Saya tidak kata penulisan mahakarya itu mesti dimulakan sekarang. Aktiviti menulis itulah yang harus dimulakan seawal mungkin. Ini disebabkan oleh sifat menulis itu sendiri yang memerlukan kemahiran. Seperti mana aktiviti seni yang lain, semuanya memerlukan kemahiran, ketekunan dan sikap mahu memperbaiki diri. Saya fikir, Leonardo Da Vinci pastinya menguasai asas-asas lukisan sebelum cuba melukis Mona Lisa. Siti Norhaliza pun menyanyi di majlis-majlis kenduri kahwin sebelum dia akhirnya buat persembahan di Royal Albert Hall, London.

Jadi, sebelum menghasilkan sebuah karya sehebat Mona Lisa ataupun menyanyi di Royal Albert Hall, dalam penulisan karya kreatif, ada baiknya kita menulis sebanyak mungkin dan sekerap mungkin. Menulis yang kecil-kecil seperti menulis puisi, cerpen dan novella boleh membantu kita menghasilkan mahakarya yang mahu dikenang sepanjang zaman itu.

Di dalam penulisan kreatif, tidak mungkin seseorang itu berhenti kerja, pencen ataupun setelah anak-anaknya besar kelak, tiba-tiba sahaja menjadi penulis tersohor melainkan melalui proses latihan yang berterusan antara sela-sela masa kesibukannya, ataupun ketika anak-anak kecilnya sedang leka buat kerja sendiri atuapun tidur, ataupun dengan cara apa sekalipun dia mencari dan 'mencuri' masa untuk memperkemas gaya penulisannya.

Seperti saya menulis novel bersiri dahulu, dalam tempoh 2 tahun saya telah menyiapkan 24 bab (Puisi Untuk Esdyzuar), dalam masa 3 tahun 1 bulan saya menyiapkan 37 bab (Lentera Mustika) dan selama 2 tahun 1 bulan saya menukangi Gapura Purnama. Kalau saya hendak menunggu satu masa yang sangat lapang, ketika anak-anak sudah besar, ketika saya tidak sibuk dan segala macam alasan lain, ada kemungkinan saya tidak dapat menyudahkan mana-mana manuskrip ini.

Pendek kata, jika setiap masa yang terluang diisi dengan menulis, saya fikir individu yang saya temui dan sangat bercita-cita untuk menulis itu sudah pun menyiapkan sebuah karya pada ketika ini.

Saya malas hendak mengungkapkan sesuatu yang klise, tetapi tiada siapa yang boleh menafikan pepatah Melayu yang menyebut sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Sabtu, Januari 09, 2010

Ceramah Hak Cipta

Sempena Mesyuarat Agung PEN yang akan berlangsung pada 17 Januari 2010 (Ahad), saya telah diundang untuk menyampaikan ceramah Penulis & Hak Cipta.

Tempat : Asrama D'Ark, Taman Sri Kasih, Senawang.

Atur cara :

8.30 pagi: Pendaftaran

9.00 pagi: Ceramah Penulis dan Hak Cipta oleh Puan Nisah Haron

10.30 pagi: Deklamasi Puisi oleh Penyair
Gema Serunai Hati 9: Negeri Sembilan, Negeriku Gemilang

10.45 pagi: Mesyuarat Agung PEN ke-33

Agenda:

• Ucapan Ketua Satu
• Pembentangan dan Pengesahan Minit Mesyuarat Agung ke-32
• Pembentangan dan Pengesahan Laporan Tahunan 2009
• Pembentangan dan Pengesahan Laporan Kewangan 2009
• Pemilihan Jawatankuasa PEN Sesi 2010-2011
• Pembentangan dan Perbahasan Usul
• Ucapan Penangguhan

Walaupun ceramah ini dianjurkan oleh PEN, sesiapa yang berminat boleh hadir ke majlis tersebut. Ini peluang keemasan. Selalunya, saya mengadakan ceramah Hak Cipta yang berbayar. Kali ini tiada yuran dikenakan.

Jika ada sebarang persoalan mengenai hak cipta yang perlu saya perjelaskan, boleh tinggalkan di ruangan komen. Saya akan masukkan ke dalam ceramah itu kelak, insya-Allah.

Maklumat lanjut, sila rujuk laman web PEN.

Isnin, Januari 04, 2010

Terbit di Blog ertinya sudah terbit

Puan,

Saya ingin bertanyakan satu soalan:

Apabila kita menghasilkan cerpen/karya lalu diletakkan didalam blog, adakah masih boleh sesebuah karya itu ditampilkan pada media yang lain.

Sebagai contoh, seseorang menghasilkan sebuah cerpen lalu diletakkan di dalam blognya. Kemudian dia menghantar cerpen yang sama kepada pihak majalah untuk disiarkan. Ataupun, penulis mengarang novel lalu meletakkan hasilnya pada blog kemudian dihantar kepada pihak penerbitan untuk diterbitkan.

Adakah sebarang undang-undang yang memerlukan kita setelah menghantar karya kepada pihak tertentu, perlu untuk memadamkan hasil itu pada laman blog sendiri?


Jawapan :

Saya pernah tulis isu ini dahulu di dalam entri yang berjudul "Terbit di maya, terbit di kertas". Namun, dalam memberi kesedaran kepada umum, saya tidak akan berasa jemu mengulangnya.

Fenomena ini biasa berlaku. Setelah saya tegur dalam entri yang tersebut di atas, ada kurang sikit. Kini saya lihat semakin berleluasa. Blog bercambah seperti jagung menjadi bertih. Di dalam beberapa saat, ada sahaja yang mahu mengungkapkan sesuatu di dalam blog masing-masing. Ada yang menulis puisi, cerpen dan tidak kurang juga novel.

Isu ini juga pernah saya beri reaksi panjang di dalam blog Zaid Akhtar. Lihat entri : Sayembara - Teruja atau Jahil Etika.

Ringkasnya, begini:
  • Apabila menulis karya di blog, karya yang sama tidak boleh dikirimkan ke akhbar / majalah untuk diterbitkan semula secara eceran. Eceran ertinya bukan di dalam bentuk buku.

  • Terbit bermaksud boleh dinikmati atau dibaca oleh orang awam. Dalam undang-undang, lebih dari 3 orang sudah dikira made public. Oleh itu, dalam hal undang-undang fitnah misalnya, kalau bergosip berdua belum lagi jadi fitnah (dalam erti kata undang-undang, ya), tetapi apabila gosip itu berlanjutan kepada orang ketiga dan gosip itu tidak benar, terus boleh dikategorikan sebagai fitnah dan boleh disaman oleh pihak difitnah.

  • Terbit di dalam Bahasa Inggeris disebut published. Oleh itu, menyiarkan karya itu di blog samalah ertinya karya itu sudah pun terbit terlebih dahulu sebelum diberikan kepada media cetak untuk diterbitkan dalam versi cetak. Sebab itu ada butang yang bertanda "publish post" di bawah kotak entri.
Salahkah berbuat begitu, anda mungkin bertanya. Ok, saya berikan analogi lain :
  • Bayangkan anda ini sasterawan tersohor, misalnya, SN A. Samad Said. Katakan Pak Samad ada blog dan puisi-puisinya sering terbit di blog itu. Oleh sebab dia ada peminat, tentulah peminatnya akan mengikuti perkembangan puisi-puisinya di blog Pak Samad.

  • Suatu hari Pak Samad berhasrat untuk mengirimkan sebuah puisi panjangnya di akhbar. Editor mana yang tak akan menadah tangan? Tentulah mereka terima dan mahu menerbitkannya. Apatah lagi, apabila orang tahu puisi Pak Samad ada di dalam akhbar pada hari yang berkenaan, itu sahaja sudah boleh melariskan akhbar.

  • Namun, puisi yang Pak Samad serahkan itu sudah terbit di dalam blognya. Semua peminatnya sudah baca karya tersebut. Ini bukan puisi baharu Pak Samad. Ya, peminatnya masih lagi beli akhbar itu, sekadar untuk buat koleksi, barangkali. Tetapi, yang lain tak perlu beli akhbar pun tak mengapa, boleh saja akses dari blog Pak Samad bukan.

  • Nah, puisi ini bukan lagi eksklusif di akhbar tersebut. Akhbar itu telah menerbitkan puisi yang sudah pun dibaca orang.

  • Sekarang kembalikan diri anda yang sebenar. Anda bukan Pak Samad. Namun, itu tidak bermakna anda boleh sewenang-wenangnya menerbitkan puisi di blog dan berkata, "Alah, saya bukannya siapa-siapa. Saja suka-suka nak terbit di blog. Nak kongsi perasaan dengan orang lain."

  • Itu alasan pilihan anda. Sekali lagi, editor yang mengetahui akan perangai anda yang sudah terbit dulu di blog kemudian, setelah basi baru hantar kepadanya, akan ambil ingatan akan nama anda. Editor akan lebih berhati-hati dalam memilih karya anda. Editor dan akhbar/majalahnya tentulah tidak mahu dikatakan menerbitkan karya yang sudah terbit di tempat lain.
  • Secara amalannya, penerbit tidak akan menerbitkan karya yang sudah terbit di media cetak yang lain. Namun, dengan kepesatan teknologi maya pada hari ini, ramai editor yang mengikuti perkembangan penulis dan calon penulis yang telah menerbitkan karya mereka terlebih dahulu di blog.
Apa yang mesti anda buat setelah mendapat pencerahan ini?
  • Jika ada karya yang belum terbit di media cetak tetapi sudah ada di blog, sila padamkan dan simpan untuk koleksi peribadi. Walaupun ini tidak mengubah hakikat bahawa karya ini pernah diterbitkan, namun, ini satu tindakan yang paling wajar yang dapat anda lakukan.
Bila anda boleh terbit/siarkan karya yang sama di blog sendiri?
  • Setelah karya itu terbit di media cetak, anda boleh uar-uarkan di blog. Itu pun siarkan sebahagian kecil sahaja. Untuk jadi teaser. Suruh pembaca dapatkan yang asli dari sumbernya.

  • Jika ada sumber dalam akhbar online, pautkan dari blog anda kepada sumber asalnya.Bagi karya yang terbit di majalah bulanan, tidak boleh siarkan karya anda sehinggalah bulan berikutnya. Bagi akhbar harian, tempohnya sehari. Akhbar mingguan, tempohnya seminggu. Dan begitulah seterusnya.
  • Jika harus menerbitkan semula di blog, kreditkan sumber asalnya sebagai contoh di bawah :

SUMPAH SETIA TANJUNG PIAI
(Buat teman-teman yang berjuang dengan pena)


Oleh : NISAH HAJI HARON

Ketika tikaman datang bersama petah bicara
Luka dan bisanya maha dalam
Tetapi ajal bukan dalam
jarimu tergenggam;
Entah dengan senjata mana
Meski pisau haloba
atau keris iri
atau panah hasad.

Untuk apa sumpah setia di Tanjung Piai
Untuk apa resolusi gah tak tergapai
Persis ikatan kata-kata tak terkota
Himpunlah seberapa banyak sumpah
Selagi diri tidak berubah
Sayap perjuangan takkan terarah
(Salahkah kita berdiri atas lantai sederhana)

Andai kiblatmu kini kutanyakan
Mampukah kalian katakan
Hasil penamu hasil dorongan
bukan desakan
tanda ringgit empat berangka;
Karya itu terpaksa kautulis, katamu
Namun siapa yang memaksa
Lantaran sekadar
mahu membariskan sepotong nama
di bawah judul karya sebanyaknya.
Langsung kau pun menginjak-injak
Agar kau boleh melonjak lebih tinggi
Mereka pun akur-pasrah memberi laluan izin
Kerana mereka juga percaya
Setiap yang di bawah
Esok-esok bergilir ke atas.

Biarlah kutekap luka tikaman kata
Benang-benang perjuangan ini
Biarlah kusambung sendiri.
Cara kita mungkin berbeza
Tetapi,
Kitalah penjunjung amanah-Nya
Doaku teriring moga kau tidak lemas
Di laut taksub alpa
Setelah meninggalkan Tanjung Piai dan sumpah setianya!

27 Sept 2005 – 2 Disember 2005
Seremban – UKM – Bachok.

Sumber : Berita Minggu, 29 Januari 2006

Saya juga pernah dimaklumkan bahawa sebuah novel yang memenangi sayembara daripada penganjur yang tersohor, pernah diterbitkan di blog pengarangnya secara bersiri. Sedangkan, syarat ketat penganjuran menyatakan bahawa karya yang dikirimkan bagi tujuan sayembara mestilah TIDAK PERNAH DITERBITKAN SEBELUM INI. Syarat itu cukup jelas. Dalam hal 'terbit', ertinya tidak pernah terbit di blog sendiri.

Dalam hal sayembara, panel penilai tidak dapat melihat nama pengarangnya ketika menilai manuskrip. Perbuatan menerbitkan di blog mendedahkan identiti pengarangnya. Manuskrip tersebut berhak dilucuthak daripada dipertandingkan.

Saya tahu ramai yang buat kerja-kerja terbit puisi, cerpen, novel di blog masing-masing. Selepas itu hantar ke media cetak. Kalau menerbitkan sendiri dalam bentuk buku sebagai kumpulan-puisi-yang-pernah-terbit-di-blog-sendiri, misalnya, itu tidak menjadi hal. Yang saya maksudkan di sini ialah terbitan secara eceran di media-media cetak.

Sekarang anda sudah tahu, jangan buat lagi, ok!

Jagalah etika dan maruah diri sebagai penulis.
.
.

Jumaat, Januari 01, 2010

Natrah - edisi mesti-baca

Terbaharu di Ujana Ilmu


Judul : Natrah - Cinta, Rusuhan, Air Mata
Pengarang : Fatini Yaacob
Mukasurat : 473 halaman
Cetakan Pertama : 2010

Saya pernah membaca kisahnya di dalam Dewan Masyarakat sewaktu di sekolah menengah. Saya ikuti kisahnya dengan penuh penghayatan.

Saya baca juga versi Isa Kamari yang menulis kisah Natrah dalam novelnya Atas Nama Cinta. Saya dapat menyelami sebahagian daripada perasaan Natrah.

Namun, membaca Natrah : Cinta.Rusuhan.Air Mata ini memberikan perasaan yang berbeza. Mungkin saya membacanya kala usia yang semakin matang dan berbekalkan subjek-subjek undang-undang yang telah mendap di dalam diri.

Nah, ini naskhah MESTI-BACA. Setiap orang Melayu-Islam yang mengakui dirinya Melayu dan Islam haruslah memiliki semangat yang dibawakan oleh buku ini.

Dapatkan dari www.ujanailmu.com.my. Layari juga kedai buku online - Ujana Ilmu untuk maklumat lanjut.

Harga : RM99 (kulit tebal), RM75 (kulit nipis)
Related Posts with Thumbnails