Sabtu, Oktober 31, 2009

Mantan Peserta MPR 1985 - 2008 & Senarai Antologi

Senarai Penulis MPR sejak 1985

Minggu Remaja (1985 – 1989)

Ahmad Faizal Ahmad Fadzil
Ahmad Patria Abdullah
Ainol Amriz Hj. Ismail
Alina Idris
Amaruszati Noor Rahim
Ani Mawar Abdullah
Arfah Ahmad
Fadzillah Abd Majid
Fauziah Yunos
Harman Sham Ab. Rahim
Hamir Habeen Mohd Abdul Settar
Hizairi Othman
I.D. Zurin
Jamilah Alias
Jamaludin Ahmad
Kamariah Kamarudin
Khairul Anuar Mohd Noh
Lily Haslina Nasir
Maznah Mukhtar
Nor Sai’da Sadhana Abd. Kadir
Rahimidin Zahari
Ruslan Ngah
Salwati Othman
Shaidah Shafie
Shamsudin Othman
Sharkawi Che Din
Shukri Mohd Ali (??)
Tan Bok Hoi
Tuan Faridah Syed Abdullah
Wan Shahriza Wan Ab. Rahman
Zaen Kasturi
Zarihah Hassan
Zulkifli Mohd Top
Zuraidah Othman
Zurina Shafie


Minggu Penulis Remaja (1991 – 2000)

Ab. Rahman Nayan
Ade Irma Suryani Che’ Leh
Ahmad Zafran Abd. Mutalib
Amelia Fauza Bohari
Ang Chin Huat
Dima Mazlina Abu Bakar
Ebriza Aminnudin
Esmawady Mohd Esa
Fahd Razy
Faisal Tehrani
Faizati Mohd Ali
Hafizah Iszahanid
Hany Fariza Fuad
Hassan Jaidin
Intan Marhayu Rahman
Intan Marhaenee Rahman
Jimadie Shah Othman
Juliana Mohamed
Khairul Nizam Abd Raub
Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim
Lim Fheng Fheng
Lutfi Ishak
Maharam Mamat
Mohd Elfie Nieshaem Juferi
Mohammad Hafezin Khadiri
Mohd Ashadi Saiman
Monalita Mansor
Nazirah Md Noor
Nisah Hj. Haron
Norhasnida Abd Gani
Putri Al-Insyirah Megat Sapeli
Putri Irhanan Sapeli
Putri Junaidah Megat Yunus
Ranofla Dianti Irwan
Raihani Mohd Saaid
Ridzuan Harun
Rosman Nordin
Roslan Jomel
Rosie Haslinda Nasir
Ruhana Md Zaki
Saharil Hasrin Sanin
Salina Ibrahim
Salman Sulaiman
Shahirah Shamsuddin
Shamsinor Zaman Shamsuz Zaman
Shazmee Rizal Agus Salim
Shazmira Shahuddin
Siti Hajar Mohd Zaki
Siti Zarina Md Israry
Stella Nasib
Syaidul Azam
Tung Wai Chee
Ummu Hani Abu Hassan
Uthaya Sankar SB
Wan Nor Al-Tasnim
Wira Budiman Azizan
Wong Kam Heng
Zaid Akhtar
Zunaidah Zainon


Minggu Penulis Remaja (2001 – 2008)

Abdul Rauf Baharuddin
Aidil Khalid
Ainunl Muaiyanah
Amir Hamzah Akal Ali
Amir Mukhriz
Anis Sarah
Atriza Umar
Azilawanie
Azizul Ikhwan Mohd.
Azree Ariffin
Azree MH
Faizal Nizam
Farahana Hussain
Firdhaus Hassan
Firuz Akhtar Lubis
Ghafirah Idris
Hafiz Noramli
Hafizul Osman
Hani Salwah Yaakup
Hazhizh Saparudin
Hazwani Husain
Ida Munira Abu Bakar
Izzatie Halim
Jamilah M.Nordin
Justin Dingun Ugah
Lala Zehan
M.F. Kencana
Misraini Wazir
Mohamad Anis Md Yusof
Mohammad Hafiz Abdul Latiff
Mohd Helmi Abdullah
Mohd Saufi Othman
Muhammad Faisal
Nabiha Mashut
Nai Boon Mee Sararaks
Nasriah Abdul Salam
Nimoiz TY
Nissa' Yusof
Norhafiedah
Nurul Azma
Nurul Hidayah
Nurul 'Izzah
Nuruliman Dashuki
Raden Qurratu'Aini
Radiah Baharin
Rashidah Othman
Rashidah Othman
Sapiah Derahman
Sayidah Mu'izzah
Sharifah Alsiah
Syafiq Azli Mohd Salleh
Syarifah Zulikha Syed Zulkepli
Syamsul Johari
Wan Nor Azriq
Widura Abdul Kadir
Zaki Johari
Zarina Baharuddin
Zulfadli Sohok
Zulfazlan Jumrah

Soalan : Ada sebarang nama yang saya terlepas pandang / tertinggal? 
Ini penting kerana sedang buat dokumentasi tentang MPR. Bantu saya, khususnya nama-nama mantan sebelum tahun 2000. Terima kasih.

Juga sedang kemaskini senarai yang berikut :

Senarai Antologi Cerpen dan Puisi Hadiah Sastera Siswa (tahun yang dinyatakan ialah tahun penilaian, bukannya tahun penerbitan antologi)

1. Kulepaskan Resah Sepi ( HSSBR 1987)
2. Tidak Semanis Mimpi (HSSBR 1988)
3. Puteri Dayana (HSSBR 1989)
4. Persisiran Senja (1990)
5. Atlantis Duniaku Duniamu (1991)
6. Annyss Sophilea (1992)
7. Rahsia (1993)
8. Suatu Impian (1994)
9. Perjuangan (1995)
10. Harapan di Joyrampur (1996)
11. Perjalanan Jarum Jam (1997)
12. Klik! Klik! (1998/1999)

Soalan : Bolehkah dikatakan bahawa Antologi "Klik! Klik!" ialah antologi HSSBR terakhir? 
Selepas itu, tiada lagi HSSBR dan tiada lagi antologi diterbitkan.


Senarai Antologi Cerpen dan Puisi MPR

Cerpen

1. Biarkan Aku Sendiri (1985)
2. Impian Murni (1986)
3. Nilai Sebuah Kasih (1988)
4. Pencarian Semusim (1988)
5. Permata Nilam Biru (1989)
6. Salji Masih Berguguran (1989)
1. Selembut Najwa (1991)
2. Tidak Sepanas Bara (1991)
3. Amanda Balqis (1993)
4. Tinggalkan Pelabuhan Ini (1993)
5. Catatan Nostalgia (1993)
6. Wajah di Kanvas (1994)
7. Nur Sadiq (1994)
8. Dialog dengan May (1996)
9. Antologi 9! (2007)
10. Antologi 12! (2007)
11. Antologi Kacak Jelita (2008)


Puisi

1. Bunga Pelangi (1985)
2. Meraut Kasih (1988)
3. Impian Kecilku (1990)
4. Erti Kedewasaan (1993)
5. Melirik Mawar (1994)

Antologi Cerpen & Puisi

1. Ilustrasi Sekeping Hati (1997)
2. Sebuah Hati di Cheng Du (1998)
3. Perjuangan Kedua (1999)

Antologi "Perjuangan Kedua" , khas untuk mantan 1998.
Soalan : Ada sebarang antologi yang terbit khusus untuk mantan 1999 (terbitan DBP)? 

Atas jawapan kepada soalan-soalan di atas, saya ucapkan terima kasih.

Khamis, Oktober 29, 2009

Umbara Sastera III & Bengkel Penulisan Cerpen PEN 2009

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai bengkel penulisan cerpen ataupun saja-saja nak singgah ke Seremban mendengar proses kreatif beberapa orang pengarang tentang penghasilan cerpen masing-masing (insya-Allah, saya juga terlibat sebagai panel), sila dapatkan maklumat lanjut di Laman Rasmi PEN.

Tempat terhad. Tempahan tempat hendaklah dibuat dengan menghubungi Encik Amiza Khusyri bin Yusof. Semula maklumat ada di sana. Harap tidak tinggalkan mesej di sini kerana akses saya dengan internet amat terhad buat masa ini. 

Terima kasih.  
 

Jumaat, Oktober 16, 2009

Petikan ulasan Mencari Locus Standi di dalam Berita Harian 16 Oktober 2009 oleh Nur Azzureen Nor Hisham :

Idea kritis pengarang novel ini menyebabkan pembaca bermain dengan perasaan ketika membaca, meskipun hakikatnya jika diteliti dari segi tema ia nampak biasa kerana membicarakan perebutan harta pusaka, tetapi tampil berbeza kerana Nisah menguasai aspek undang-undang yang disulamnya.

Tindakan pengarang menyelitkan unsur adat pepatih dan temenggung dalam novel ini memungkinkan pembaca menjadikan bahan bacaan kreatif ini sebagai sumber rujukan kepada pengkaji kedua-dua peraturan terbabit.

Meskipun novel ini sudah lama berada di pasaran, sebagai pelajar yang sedang mengikuti kursus undang-undang, penulis tetap mengesyorkan ia dijadikan bahan bacaan untuk yang berminat mendalami bidang ini kerana pelbagai onak duri yang bakal dihadapi digambarkan pengarang.

Selain memberi gambaran sebenar kehidupan mahasiswa dan mahasiswi di universiti, novel ini juga mengangkat nilai persahabatan serta kesetiaan yang tentunya mereka tidak akan menyesal meluangkan masa membacanya!



Saya terkasima apabila membuka Berita Harian pagi tadi. Sungguh tidak disangka, sebuah karya yang sudah diterbitkan 5 tahun dulu, diulas di dalam ruangan sastera hari ini. Saya terharu. Masih ada pihak yang berminat untuk melihat dan memperkatakannya.

**Nota : tidak sempat hendak menguar-uarkan awal pagi tadi, kerana streamyx asyik buat hal sejak kebelakangan ini. Saya selalu tidak dapat online selepas pukul 8.00 pagi. Banyak e-mel penting tersangkut. Inilah kelebihan monopoli TM!

Oops, saya melencong!



Sesi foto di Berita Harian juga menarik kerana jurufotonya pandai mengatur buku dan bakul yang saya bawa ke pejabat NSTP di Jalan Riong itu, dimanfaatkan sebagai prop. Tak sia-sia saya masukkan buku-buku ke dalam bakul anyaman daripada daun pandan itu. Hampir ditahan oleh 'pak guard' NSTP kerana dia fikir saya mahu naik untuk jual barang!

Terima kasih kepada Berita Harian (juga Harian Metro) yang sudi menyiarkan tulisan ini serta liputan yang baik tentang pengarang dan buku. Saya juga memuji sikap wartawan Berita Harian yang berjiwa besar, mereka tidak keberatan mengulas buku ini walaupun diterbitkan oleh Utusan Publication - syarikat yang menjadi saingan mereka. Inilah sikap profesional. Semoga lebih banyak buku yang baik akan mendapat ulasan di dalam ruangan ini.

Sumber gambar : Koleksi Berita Harian yang dipetik dari laman webnya.

Di Konti Radio Malaysia Negeri FM


Sempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan tahun ini (Oktober 2009), Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan telah mengundang saya menjadi tokoh di dalam satu segmen Bicara Buku di Negeri FM. Untuk pengetahuan semua, bangunan Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad ini merupakan lokasi baharu Negeri FM yang sebelum ini terletak di belakang Allson Klana Resort (kini Klana Resort). Kompleks yang serba baharu dan canggih ini turut dilengkapi sebuah auditorium.


Kali ini saya diminta memperkatakan tentang karya terkini. Oleh itu, saya memilih Lentera Mustika. Lagipun, novel ini mudah didapati di kedai-kedai buku. Di Seremban, boleh beli di MPH Jaya Jusco Seremban 2, Popular Seremban 2, MPH Giant Senawang dan kedai-kedai yang mengedar buku-buku PTS. Di Ujana Ilmu, sudahlah barang pasti adanya.

Berikut beberapa keping gambar yang sempat dirakamkan oleh Puan Anissah Mohd Yunos (lebih mesra dengan panggilan DJ Amy). DJ yang bertugas ketika saya ke udara ialah Sabrina ("Kekasih Lama" - gelaran di Negeri FM) dan juga DJ baharu Fazreen (yang sudah lama saya kenal sebelum ini). Pertemuan ini semacam suatu reunion!

Turut hadir memberi sokongan ialah beberapa orang staf Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan. Tidak ketinggalan Encik Shamsudin - Pengarah Perpustakaan Awam NS, yang menjadi 'orang kuat' kerana Perpustakaan Awam ialah sekretariat yang menjalankan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan.


Gambar :  Di sisi saya, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam NS, Encik Shamsudin


 
Gambar :  Frekuensi Negeri FM




 
 Gambar :  DJ berpasangan - Fazreen & Sabrina 'Kekasih Lama'


 
 Gambar :  Bersedia sebelum rancangan Bicara Karya bermula


 
Gambar :  Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad - pintu masuk utama

Khamis, Oktober 15, 2009

Kenang-kenangan manis sewaktu di utara


Ada banyak yang manis untuk saya catatkan sepanjang pemergian singkat ke UUM dan daerah sekitarnya.


  • Saya diundang dengan surat yang penuh adab dan bersopan daripada pihak penganjur. Sungguh terharu kerana masih ada mahasiswa yang mahu memelihara adab ketika berhubung dengan mereka yang lebih tua. Mereka tidak bersikap ambil ada ataupun sambil lewa. 
  • Mereka buat follow-up beberapa kali untuk memastikan semuanya teratur. Setiap kali membuat panggilan laras bahasa mereka sesuai dengan komunikasi seorang mahasiwa dengan orang yang mahu diundang. Jika saya tidak dapat menjawab panggilan, mereka akan tinggalkan pesanan dengan Bahasa Melayu yang standard dan beradab. 
 

  • Sewaktu sampai di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, saya disambut oleh pihak urus setia yang berpakaian kemas. Ringan tangan pula mahu bantu mengangkat barang-barang saya. 
  • Sepanjang perjalanan, mereka cuba melayan saya berbual, melayan pertanyaan-pertanyaan tentang tempat dan sesekali memperkenalkan tempat-tempat yang terdapat di sepanjang laluan. 
  • Mereka pastikan saya mendaftar masuk di Hotel EDC-UUM tanpa sebarang masalah. Nur Fadzilah Fauzi, urus setia yang perempuan mengiring saya sehingga sampai ke bilik. 
  • Setelah saya yakinkan mereka bahawa saya akan menguruskan acara bebas bersama-sama Ummu Hani pada malam itu, barulah mereka tinggalkan saya untuk menguruskan raptai Seminar Penulisan Novel.
Malamnya, saya pun dibawa oleh Ummu Hani ke Puteh Book Garden. Tidak jauh rupanya, jika melalui lebuh raya dari UUM ke selatan, apabila jumpa Jo Cendul Pulut di sebelah kanan, patah kanan pada persimpangan berlampu isyarat. Jalan terus lebih kurang 4 - 5 KM. Akan jumpa sebuah kedai buku di sebelah kanan. Ada nurseri bunga di sisinya.


Siapa sangka di tengah-tengah desa (harus melalui beberapa relung sawah) ada sebuah kedai buku istimewa! Terima kasih Ummu kerana sudi hidupkan lampu walaupun Puteh Book Garden sudah tutup pada ketika itu.

Gambar : Tawarikh Cinta & Mencari Locus Standi ada dijual di Puteh Book Garden

 
Gambar : Ummu Hani di dalam kedainya

Kami singgah ke Jo Cendul Pulut sebelum pulang semula ke Hotel EDC. Enak sekali cendolnya.

Esoknya, saya bersarapan dengan enaknya di Hotel EDC. Jarang sekali sarapan pagi di hotel terasa begini enak. Selalumya, makanan di hotel punya rasa yang agak standard dan biasa-biasa sahaja rasanya. Tetapi, saya berselera sekali menikmati Nasi Goreng Thai sehingga terlupa hendak mengambil gambarnya.





  • Sementara menunggu pihak urus setia menjemput saya di hotel, sempat juga saya merakamkan beberapa keping gambar lanskap taman hotel itu. Saya sungguh tertarik dengan kesegaran tempat ini dan susun atur lanskap yang membuat saya berasa seperti tidak mahu meninggalkan hotel itu. 
  • Urus setia yang menjemput saya ada 3 orang. Ketiga-tiganya keluar dari kereta untuk datang menjemput saya di lobi hotel. Di dalam perjalanan, mereka bertanyakan sama ada saya selesa tinggal di hotel, lena tidur dan setia menjawab soalan-soalan daripada tamunya yang tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke UUM.


  • Setelah kereta diparkir berhampiran dengan dewan seminar, pandangan saya disambut oleh kain rentang yang dibuat khusus untuk Seminar Penulisan Novel ini. "Cantik tak, puan?" tanya salah seorang urus setia. Saya tersenyum sambil memuji. 
  • Buku-buku yang saya bawa dan tinggalkan di dalam kereta urus setia semalam, sudah dikeluarkan dan juga sudah diaturkan di atas meja. Ah, saya gembira dengan kecekapan urus setia. Saya hanya beri taklimat ringkas tentang buku-buku dan saya boleh tinggalkan dengan pihak urus setia untuk menjualnya, dengan rasa senang hati. 
  • Saya dibawa untuk bersarapan sebelum majlis bermula. Pada mulanya, saya ingin menolak kerana masih kenyang menikmati sarapan di hotel. Namun, saya terpaksa mengingatkan diri bahawa pagi ini saya jadi VVIP yang diraikan. Saya harus menghormati majlis. Mereka telah bersusah-payah menyediakan untuk saya.

 Gambar : dari kiri - Fadzly, Farah, saya dan Fadzilah
  • Para peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah berhampiran dan juga mahasiswa sudah mula mendaftar. Saya cicip secangkir teh dan sejemput mihun goreng yang tidak kurang enaknya. Kata Fadzly (wakil GPMS cawangan UUM), sejak dia sampai ke utara berat badan bertambah. "Makanan di sini sedap dan murah. Tak dapat hendak menolaknya!) Saya akui fakta itu. 

 Gambar : Peminat dari SMK Changlun

Majlis berlangsung seperti mana yang dijadualkan. Juruacara majlis, Mohd Haniff sudah awal-awal memberitahu di Facebook tentang kesediaannya menjadi MC. Dia benar-benar MC yang baik, sudah bersedia dari awal, membuat kerja rumah dan tahu memadatkan kata aluan pengerusi dan tidak meleret.

Gambar : Peminat dari MRM Kubang Pasu

Sewaktu sesi saya hampir tamat, Sasterawan Azizi Hj Abdullah (Pak Azizi) sampai dan dapat mendengar saya melayan sesi soal jawab. Saya juga dapat mendengar sebahagian daripada proses kreatif Pak Azizi, khususnya tentang Sangeetha dan beberapa tip penulisan yang boleh dimanfaatkan.

Sebelum bertolak ke lapangan terbang, urus setia membawa saya mengelilingi kampus UUM. Tertarik dengan kemudahan sukan yang dikhabarkan lengkap di kampus ini. Pasti mampu melahirkan atlet-atlet yang berwibawa selain hebat dari segi akademiknya.

Ketika sampai di lapangan terbang, Fadzilah dan kawan-kawannya memastikan barang-barang saya sudah didafatar masuk ke bahagian bagasi sebelum meninggalkan saya di situ. Sesungguhnya, saya tertarik dengan sikap yang ditunjukkan sekumpulan mahasiswa ini. Semoga sikap ini akan terus terbina dan berterusan. Tidak kiralah siapa yang menumbuhsuburkan sikap positif begini, ibu bapa, guru-guru dan pensyarah UUM atau tumbuh dari dalam diri masing-masing; saya puji. Saya bukannya mahukan layanan kelas pertama cukuplah dengan budi bahasa yang tidak mungkin dijual beli!

Terima kasih atas undangan ke kampus UUM. Insya-Allah, jika ada pertemuan dan ketetapan Ilahi laluan kita barangkali bersilang dan kita akan bersama-sama lagi.

Selasa, Oktober 13, 2009

Pengalaman di UUM

Sebentar lagi saya akan memberikan ceramah buat pertama kalinya di UUM. Semalam tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star, disambut urus setia langsung dibawa ke Hotel EDC-UUM. Wah, sebuah hotel yang sederhana besar tetapi punya kemudahan yang sesuai untuk pengunjung seperti saya. Boleh guna internet secara percuma di lobi. Ada komputer disediakan. Kamarnya juga dijaga rapi, biarpun sederhana saiznya, tetapi masih menawan. Ada pemandangan yang hijau di sekitarnya.

Saya masih lagi belum melangkah ke UUM. Ya, sebentar lagi akan dijemput oleh mahasiswa yang menjadi urus setia.

Malam tadi dibawa oleh Ummu Hani ke kedai bukunya - Puteh Book Garden dan kemudiannya 'pekena' cendol pulut di "Jo Cendul Pulut". Enak sekali!

Oh, nanti saya cerita lagi dan muat naik gambarnya sekali, insya-Allah.

Isnin, Oktober 12, 2009

Rezeki di Tangan Allah


CINTA saya yang pertama ialah mengarang!



Bagaimana harus saya katakan lagi? Menyusur sejak awal penglibatan saya dalam dunia penulisan kreatif, saya menulis lantaran terlalu minat membaca. Di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said (SHAMS) segala-galanya bermula. Saya amat bercita-cita untuk menjadi pengarang. Tetapi, apakan daya, seperti kata pujangga, cinta tidak semestinya bersatu.

Lantas, saya bertemu ‘jodoh’ dengan dunia perundangan. Akur dengan qada’ dan qadar tuhan. Saya sandang jawatan ini dan sempat memegang jawatan Setiausaha Kehormat Jawatankuasa Peguam Negeri Sembilan selama dua penggal. Selama tempoh ini, saya melayani cinta saya yang pertama ini sebagai satu hobi dan mengisi setiap saat masa yang terluang melayani cinta saya ini.

Ada tangan yang lebih berkuasa mengatur perjalanan hidup saya. ‘Jodoh’ saya dengan dunia undang-undang hanya bertahan selama 8 tahun. Cinta saya yang pertama ini masih kukuh mengakar ke dalam jiwa saya. Jawatan peguam bela dan peguam cara serta peguam syarie itu kesemuanya saya lepaskan dengan penuh redha dan rela.

Saya basah dihujani komen dan kritikan : mengapa meninggalkan satu profesion berprestij lagi menjanjikan pulangan material. Apalah yang boleh diharapkan dengan menjadi pengarang. Setakat mana rezeki yang ditawarkan melalui penulisan?

Ah! Ada satu yang mereka terlupa. Rezeki itu bukan semestinya dalam bentuk wang. Punca rezeki itu pula di tangan Allah!

Dengan keyakinan seteguh itulah, saya membuka kembali lembaran cinta yang pertama. Cinta itu masih kemas tersimpan dan tidak pernah saya biarkan berderaian. Cinta yang tersimpan itu saya keluarkan lalu saya hamparkan kembali di dalam kehidupan. Atas hamparan yang sama juga, saya duduk bersama-sama suami yang berlainan aliran tetapi sama arah perjuangan.

Dengan keyakinan yang serupa, suami saya tinggalkan profesion kejuruteraan dan menubuhkan www.ujanailmu.com.my – kedai buku kecil kami yang tumbuh di alam maya. Sedang dia sibuk menguruskan kecintaannya kepada dunia buku, saya pun menguliti cinta yang pertama. Ya, dulu mungkin mengarang itu suatu yang bersifat suka-suka atau menambah wang saku sewaktu di universiti. Sekarang tidak lagi.

Jika dulu, saya mengarang dengan tanggungjawab, kini tanggungjawab itu bertambah berat. Menjadi penulis sepenuh masa bererti setiap hari mesti ada ruang khusus menulis, tidak kira sama ada ruang masa ataupun ruang fizikal. Tidak timbul lagi isu tidak ada ilham untuk menulis. Kini menulis ialah tugas yang profesional dan harus lebih terancang.

Beberapa kali, saya memberanikan diri bertanya kepada editor sesebuah majalah sama ada mereka perlukan novel bersiri. Satu daripadanya ialah Lentera Mustika yang baru sahaja disudahkan siri terakhirnya dan kini sedang dibukukan.

Sejak menulis novel bersiri yang pertama, Puisi Untuk Esdyzuar yang diterbitkan secara bulanan di dalam majalah Tunas Cipta (2004 – 2006), saya rindu untuk menulis semula dengan cara yang serupa. Meskipun setiap bulan ‘dihambat’ editor kerana setiap bab haruslah dihantar sekurang-kurangnya dua bulan lebih awal. Sehabis novel tersebut, saya terbaca tentang majalah baharu. Majalah itu pertama kali saya temui di Hospital Kubang Krian ketika menziarahi sahabat yang baru sahaja mendapat seorang puteri.


Sekembalinya saya dari Kota Bharu, saya menghubungi editor berkenaan lalu membuat janji temu dengan beliau. Pada waktu itu, saya belum ada sebarang plot; yang ada cuma hasrat untuk menulis sebuah prekuel kepada novel Mencari Locus Standi (MLS).

MLS (Utusan Publication & Distributors, 2004) menyorot sudut pandangan E-Jay atau Eliza Jasmin yang mendapat ibu tiri bernama Ainur Mustika, seorang pensyarah di institut pengajian tinggi tempatan. Lalu melalui Lentera Mustika, bercadang untuk menyorot kisah ini beberapa tahun terdahulu daripada MLS dan dari sudut pandangan Ainur Mustika.

Berbekalkan perkara tersebut, saya memberanikan diri untuk berjumpa dengan puan editor. Bagai diatur, beliau pernah mengikuti perkembangan penulisan saya dan tambah memudahkan cerita, beliau juga sudah membaca MLS. Lantas, tidak sukar bagi saya untuk menyampaikan hasrat tersebut. Masihkah saya tidak mahu percaya bahawa rezeki itu di tangan Allah?

Bayaran honorarium setiap bulan sedikit sebanyak membantu kehidupan saya sehari-harian apatah lagi, saya menulis Lentera Mustika ketika sudah menjadi pengarang sepenuh masa. Berbeza sekali dengan MLS yang ditulis sewaktu masih lagi memegang jawatan sebagai peguam @ peguam syarie. Tumpuan menulis juga berbeza dan yang paling manis tentulah kebijaksanaan editor mendesak saya setiap bulan.


Selepas itu, setiap bulan ataupun setiap kali bekalan bab kehabisan, saya akan terus dihambat supaya menghantar bab yang berkenaan. Dengan demikian, berlangsunglah hubungan 3 tahun 1 bulan antara saya dengan majalah tersebut.

Ada pengarang yang berpendapat menulis novel bersiri merupakan suatu ‘bala’ kerana tidak semua pengarang dapat bertahan dengan desakan tersebut. Tetapi, saya sesungguhnya ‘mencari bala’ apabila saya sendiri yang mencari ruang untuk ‘didesak’ setiap bulan. Saya percaya tanpa desakan yang demikian rupa, belum tentu saya dapat menyudahkan novel ini. Walaupun mengambil masa yang agak panjang tetapi saya telah menulis secara tekal dan setiap kali menyambung setiap bab, adakalanya saya sendiri tertanya-tanya apakah yang bakal berlaku kepada Ainur Mustika. Perasaan yang sama saya berikan kepada pembaca, kepada editornya juga!

Secara umumnya, undang-undang adalah sesuatu yang tidak digemari orang ramai. Saya faham kenapa orang ramai menjauhi undang-undang apatah lagi untuk memahaminya. Bagi saya yang telah memasuki kedua-dua belah kaki ke dalam dunia undang-undang dan sesekali kaki itu keluar dan masuk pula dalam dunia sastera, saya fikir saya boleh memanfaatkan kedua-dua dunia tersebut.

Matlamat novel ini antara lain menerangkan konsep pembahagian harta seperti harta sepencarian, hibah, wasiat selain turut menerangkan konsep poligami serta hak-hak isteri serta bekas isteri. Dengan matlamat tersebut, saya harus mencipta jaringan cerita yang boleh ‘memerangkap’ pembaca supaya terus terikat sehingga ke akhir cerita. Tanpa jaringan yang memerangkap itu, matlamat saya pastilah tidak kesampaian.


Jaringan yang paling sesuai tentulah jaringan cinta.

Cinta tidak menjadi mauduk utama walaupun kehadirannya sangat dirasakan. Cinta di dalam Lentera Mustika bukan sekadar cinta sesama manusia tetapi cinta kepada warisan bangsa, cinta kepada diri sendiri dan paling penting cinta kepada Tuhan.

Melalui rasa cinta antara Emir Johan dan Ainur Mustika, persoalan undang-undang ini dapat saya rapatkan kepada pembaca. Melalui Emir Johan yang berperanan sebagai peguam, saya jelaskan tentang hak-hak seorang anak guam, seperti mana yang pernah saya lakukan sedikit masa dahulu.

Respons daripada beberapa orang pembaca yang mengikuti siri ini menyatakan bahawa mereka berasa terpanggil untuk mengetahui dengan lebih lanjut persoalan hibah dan harta sepencarian serta tatacara untuk menguruskannya. Saya fikir, saya tidak mampu memasukkan semuanya ke dalam novel ini. Pembaca juga harus faham bahawa novel ini sifatnya sebagai pencetus kesedaran dan bukannya sebuah buku yang menjadi panduan lengkap kepada persoalan undang-undang.

Namun, sebagai pengarang saya teruja kerana respons beginilah yang diharapkan dalam menyuntik kesedaran ilmu (khsusunya undang-undang) kepada pembaca dalam melahirkan ummah yang celik pengetahuan. Saya juga percaya bahawa pengarang harus memasukkan dos yang secukupnya di dalam bancuhan karya. Jika dos undang-undang saya berlebihan, pastinya ada yang akan mual menerima kuliah undang-undang saya di dalam novel itu. Begitu juga dengan dos cinta – cukup sekadar mengikat pembaca supaya terus terperangkap dalam jaringan yang dibina lantas menuntut kesetiaan pembaca supaya menghabisi novel ini.

Itulah cabarannya kepada saya!


Saya juga percaya bahawa menjadi pengarang sepenuh masa tidak bermakna saya mesti menulis novel-novel pop untuk cepat kaya. Matlamat saya dalam penulisan bukanlah untuk mendapat keuntungan material. Kekayaan itu satu rezeki tetapi mendapat keberkatan daripada setiap rezeki yang diperoleh itu jauh lebih penting.

Nah, ini pendirian saya. Sejauh mana saya akan terus berkecimpung sebagai penulis sepenuh masa, itu adalah ketentuan Allah Ta’ala. Jika Dia ada jalan lain bagi menunjukkan punca rezeki yang baharu, saya tidak berkuasa untuk mengubahnya.

Namun, saya sungguh-sungguh percaya bahawa punca rezeki itu di tangan Allah!



sumber  : Dewan Sastera September 2009

Khamis, Oktober 08, 2009

"Kembalikan Hizairi, Sahabat Kami Itu"

Selamat Hari Lahir, Hizairi, walau di mana sekali pun kau berada!


*   *   *



Kembalikan Hizairi, Sahabat Kami Itu

Permintaan ini luar biasa umpama menangguk purnama di kolam kencana
demikianlah kami perikan dia yang dikhabarkan tiada tetapi terasa di mana-mana
tanpa nisan bertanda kami langsung enggan percaya - sesungguhnya
namanya masih terucap pada setiap bicara tatkala kami di meja karya.

Dia menyalin peribadi ayahandanya yang telah menyentu atma kami semua,
pun berkongsi tinta perjuangan serupa dengan kalam tajam terasah pena sentiasa
dia membakar marak api semangat ini dengan bara kata-kata bersahaja tetapi menguja
mana mungkin manusia sebaik dia hilang dibungkus kabus kosong mencecah dasawarsa.

Sudah kami "Pesan Pada Angin" seperti kata Lila dalam karya kecil penuh makna,
ataukah "Hatinya Sudah Menjadi Milik Kesuma", cerpen kegemaran kami semua
mungkinkah dia hilang mencari "Syonagar" istimewa ataupun "Kai di Lembah Urda",
barangkali juga sedang ber"Jukstaposisi" berhibernasi menukang sebuah mahakarya!

Ah, sekadar melayan rayanan kami, Hizairi, kerana siapa pun tidak akan percaya
kami selalu mengucap namanya pada setiap muzakarah sastera - sesungguhnya
penanya hidup berbicara kerana kuras-kuras karyanya ampuh dan terus bernyawa,
apakah ini muslihat ataupun ceritera terhijab bukan untuk kami mengetahuinya.

Tuhan, kembalikan Hizairi, sahabat kami itu jika urusannya sudah sempurna di sana
kami rindukan senyuman yang sarat sari semangat untuk kami tamtama sastera
"Bulan di Puncak Notre Dame" itu sudah terlalu lama menajdi lakaran terakhirnya
perkenankanlah dia kembali tersenyum bersama-sama kami di pentas berlukis tinta!

Nisah Haji Haron
15 Februari 2009

sumber : Dewan Sastera, September 2009

Hak cipta terpelihara. Nisah Haron menegaskan dirinya sebagai penyair dan pencipta kepada puisi ini. Sekiranya ada pihak yang berminat untuk menyalin semula, sila nyatakan permintaan tersebut di sini dan nyatakan juga nama Nisah Haron sebagai penyair apabila membuat cuplikan. Terima kasih. 


*   *   *

Usah tanya saya di mana Hizairi kini. Ibunya sendiri juga tiada jawapannya. Kita sama-sama doakan semoga dia akan kembali kepada kita semua, khususnya di jagat sastera.

Selasa, Oktober 06, 2009

Ulasan "Lentera Mustika" di dalam Harian Metro






Ketika mendapat SMS daripada Sdr Roslan Isa, saya sedang menikmati sarapan pagi di warung berdekatan dengan kediaman. Selepas minum, terus sahaja ke kedai runcit berhampiran dan mendapatkan naskhah Harian Metro. Benarlah, hari ini Al-Abror Yusof telah mengulas "Lentera Mustika". Saya kira dia telah membacanya kerana ulasan yang diberikan bukanlah sekadar resensi biasa ataupun orang yang hanya membaca blurb dan kemudian membaca secara tebuk-tebuk (kemudian terus keluar teori itu-ini).



Related Posts with Thumbnails